KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan rakyat agar jangan terlalu percaya dengan janji pembangkang.

Selama dua tahun Parti Warisan (Warisan) memerintah Sabah, mereka gagal menguruskan negeri ini dengan baik, inikan pula mereka bercakap soal Perdana Menteri dari Sabah.

“Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) ketika memerintah dulu, Sabah pun tidak terurus dengan baik.

“Kini, Azis Jamman (Datuk Mohd. Azis Jamman) pula mempersoalkan kenapa hanya tawarkan jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri), kenapa tidak PM (Perdana Menteri). Macam mana mahu jadi PM, sedangkan di Sabah pun mereka kalah.

“Dua tahun menjadi kerajaan negeri, hala tuju pun tiada, melainkan fitnah sana-sini. Jadi, apa yang mereka banggakan? mereka bangga dapat menubuhkan syarikat minyak masak, tetapi tidak pernah untung,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping Membakut, semalam.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, berlainan dengan GRS yang membuktikan pencapaian cemerlang sepanjang tempoh dua tahun memerintah di Sabah.

“Kita mampu memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu dan kejayaan tersebut tidak pernah dicapai oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Hajiji berkata, beliau jarang bercakap soal politik namun, musim pilihan raya ini, banyak perkara perlu dikongsi bersama rakyat terutama berkaitan pencapaian kerajaan negeri pimpinan GRS dan Barisan Nasional (BN).

“Saya kena bercakap apa yang sudah, sedang dan akan kerajaan negeri laksanakan.

“Walaupun kita berhadapan pandemik Covid-19 pada awal pemerintahan, ia tidak menghalang kerajaan GRS-BN terus mengorak langkah dan mengatur strategi memulihkan ekonomi.

“Kita atur kerajaan sebaik-baiknya dan pada tahun ini kita dijangka akan memperoleh kutipan hasil yang lebih besar iaitu RM6 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan Warisan memerintah bukan sebab mandat rakyat tetapi ada wakil rakyat terutama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang melompat menyertai Warisan.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan Barisan Nasional jatuh dan ternyata kerajaan yang dibentuk tanpa mandat rakyat tidak mampu bertahan lama. Itu sebabnya, selepas dua tahun Warisan memerintah, Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Warisan hilang sokongan majoriti.- UTUSAN

The post Sabah pun tidak diurus dengan baik, Warisan mahu urus negara? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *