PUTRAJAYA: Sabah masih kekal negeri paling banyak masjid di Malaysia, malah merekodkan jumlah masjid baharu tertinggi dibuka tahun lalu.

Perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman sesawang agensi itu kelmarin menunjukkan 64 buah masjid baharu ada di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1,141 masjid di seluruh negeri berkenaan tahun lalu berbanding hanya 1,077 buah direkodkan pada 2021 serta 1,072 pada 2020.

Bilangan itu menurut Jakim, membabitkan sebuah masjid bertaraf negeri di Kota Kinabalu, 10 buah masjid kerajaan, 21 buah masjid daerah dan baki 1,109 buah masjid kariah.

Penduduk Sabah berjumlah lebih 3.5 juta orang dengan majoriti besarnya 2.3 juta Muslim terdiri dalam kalangan etnik Bajau diikuti Melayu, Kadazan Dusun, Murut dan Bumiputera lain.

Pertambahan besar masjid di negeri ini dipercayai ekoran trend permintaan tinggi umat Islam bagi ibadah solat fardu berjemaah selain aktiviti dakwah kepada komuniti tempatan.

Secara statistik, 322 buah masjid baharu berjaya dibina di seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu dengan Perak muncul yang kedua tertinggi iaitu 54 buah, diikuti Sarawak pula 39.

Berikutnya ialah Terengganu (30), Johor (28), Pahang (22), Selangor (21), Kelantan (16), Kuala Lumpur (15), Kedah (13), Negeri Sembilan (tujuh), Melaka (enam) dan Perlis (lima).

Pulau Pinang pula muncul sebagai negeri yang paling kurang bilangan masjid baharu dibuka pada tahun lalu iaitu sebuah sahaja manakala Putrajaya dan Labuan langsung tiada.

Berdasarkan perangkaan itu, Malaysia ketika ini mempunyai sebanyak 6,836 buah masjid yang juga termasuk 18 masjid bertaraf negeri, 76 masjid kerajaan dan 166 masjid daerah.

Johor kekal kedua paling banyak masjid iaitu 850 buah, disusuli Perak (706), Pahang (652), Kelantan (600), Kedah (594), Terengganu (514), Selangor (442) dan Sarawak (408).

Putrajaya pula masih lagi sedikit bilangan masjid iaitu tiga buah diikuti Labuan (15), Kuala Lumpur (84), Perlis (106), Melaka (201), Pulau Pinang (214) dan Negeri Sembilan (305).

Dalam pada itu, data Jakim menunjukkan ada 18,360 buah surau di Malaysia akhir tahun lalu dengan Selangor kekal terbanyak premis ibadah tersebut iaitu berjumlah 2,170 buah.

Ini diikuti Kedah iaitu 2,088 buah, Perak (2,050), Johor (2,042), Terengganu (1,849), Pahang (1,752), Sabah (1,208), Kelantan (1,086), Negeri Sembilan (1,073) dan Sarawak (837).

Paling sedikit surau pula ialah di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 43 buah, disusuli Putrajaya (112), Perlis (209), Kuala Lumpur (531), Pulau Pinang (560) dan Melaka (814). – UTUSAN

The post Sabah terus unggul negeri paling banyak masjid di Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *