KUANTAN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal apabila dua lagi calon kerusi itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak hadir dalam acara debat dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelmarin.

Acara itu dianjurkan bagi menjelaskan lebih terperinci tentang manifesto calon dan parti diwakili masing-masing.

Saifuddin berkata, seharusnya penganjuran debat ini digunakan sebaiknya oleh calon bertanding sekali gus dapat memberi manfaat untuk pembangunan dan pengetahuan penduduk setempat.

“Saya dijemput sebuah NGO untuk menyertai debat ini dan saya terima undangan itu dengan hati terbuka. Ia merupakan peluang dan kesempatan kepada semua calon untuk menerangkan manifesto sendiri atau parti diwakili atau sebagainya.

 “Jadi saya kesal ketiga-tiga rakan saya yang bertanding di sini memilih untuk tidak datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Debat calon Indera Mahkota dijadualkan di Dewan Atabara Indera Mahkota dan merupakan anjuran Pertubuhan Wong Ser Warrior 294 pada 14 November lalu bagi mengulas, membincangkan dan membahaskan senario politik semasa dan manifesto dalam kalangan calon sekiranya menang PRU15. 

Acara debat itu dirancang, membabitkan Saifuddin, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Quek Tai Seong dan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan tawaran debat yang dianjurkan itu, Zuraidi berkata, dalam tempoh ini, fokusnya hanya untuk bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Indera Mahkota. 

“Saya tidak ada masalah kalau nak berdebat, tapi sekarang ini saya mengutamakan program turun padang, berjumpa pengundi. 

“Soal berdebat ini, saya fikir elok kita serahkan kepada pimpinan yang lebih ‘senior’,” katanya.  – UTUSAN

The post Saifuddin kesal calon lain tidak hadir debat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *