LONDON: Sekumpulan saintis berjaya membangunkan kaedah ujian baharu untuk mengesan autisme pada bayi dan kanak-kanak kecil dengan hanya menggunakan sehelai rambut mereka.

Lapor Daily Mail, ujian itu menganalisis sampel helaian rambut bagi mengesan tahap kandungan logam seperti plumbum dan aluminium, yang dikatakan lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak autisme.         

Ujian itu melibatkan penghantaran sampel rambut ke makmal untuk dianalisis dan ia terbukti mampu mengesan autisme dengan tepat iaitu 81 peratus ketika kajian semakan.

Kaedah ujian baharu itu disifatkan sebagai antara pencapaian terbaik yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari syarikat LinusBio yang berpangkalan di New York. 

Malah, kaedah itu kini sedang diteliti oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

Beberapa saintis lain turut menyifatkan kaedah berkenaan sebagai perkembangan terbaharu dalam kondisi kesihatan sukar didiagnosis itu yang kini menjejaskan hampir 5.4 juta rakyat AS dan 700,000 warga Britain.

Hal ini demikian kerana tiada ujian standard bagi autisme, justeru doktor terpaksa bergantung pada sejarah perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak.

Menurut kumpulan saintis itu, ujian sampel rambut itu harus digunakan bersama beberapa kaedah lain untuk mendapatkan keputusan yang tepat.

“Kami kini boleh mengesan autisme secara tepat dengan hanya menggunakan kira-kira satu sentimeter helaian rambut.

“Masalah autisme ini adalah ia didiagnosis pada usia empat tahun, jadi ketika itu begitu banyak perkembangan otak kanak-kanak sudah berlaku. Oleh itu, kami mahu mengesannya pada peringkat awal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LinusBio, Manish Arora.   

Bagi ujian tersebut, saintis menggunakan laser terlebih dahulu untuk menanggalkan lapisan permukaan rambut.

“Mereka kemudian menggunakan laser kedua yang lebih berkuasa di sepanjang helaian rambut sebelum ia mengubah menjadi plasma.

“Sampel itu diuji bagi mengesan tahap kandungan dikaitkan dengan autisme termasuk logam seperti plumbum, kadmium, arsenik dan zink,” jelas laporan itu.

The post Saintis cipta ujian kesan autisme daripada rambut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *