KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa ditangguhkan ke Isnin ini selepas tiada saksi yang boleh hadir memberi keterangan.

Soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-43, pemilik portal The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong oleh peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak dapat dilakukan ekoran peguam itu sedang cuti sakit.

“Saya cuba menghubungi saksi yang sepatutnya dipanggil (memberi keterangan) tapi tiada seorang pun boleh datang sebab notis lambat, dua orang lagi saksi pula ke luar negara.

“Kooi Ong hadir dan boleh disoal balas tapi Shafee pula masih bercuti sakit,” ujar Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela, Rahmat Hadzlan mengesahkan Muhammad Shafee sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan ortodontik.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan itu ke Isnin ini.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

The post Saksi tiada, bicara kes penyelewengan 1MDB tangguh Isnin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *