KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Terengganu atas kesalahan salah guna kuasa, enam tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman denda RM1.54 juta ke atas tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 58, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pertuduhan pertama, Che Sa’adon didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan dengan memilih syarikat Arcana Jaya bagi projek membekal dan menghantar pejantan dan induk bebiri bernilai RM107,050.

Tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn. Bhd. mempunyai kepentingan dalam Arcana Jaya kerana syarikat itu milik anaknya.

Pertuduhan kedua, Che Sa’adon didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengurus Besar PPN Terengganu dan ahli lembaga Gapets untuk memilih Arcana Jaya dengan nilaian berjumlah RM196,496.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Gapets Sdn. Bhd. pada 1 November dan 4 Disember 2016.

Bagi pertuduhan pertama, Che Sa’adon dipenjarakan lima tahun dan denda RM540,000 manakala lima tahun penjara dan denda RM1 juta bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula hari ini selain berdepan hukuman penjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Prosiding pendengaran dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh dan pegawai pendakwa, Nur Athikah Aziz.

Tertuduh pula diwakili peguamnya, Zul Basyar Saharrudin dan Mohd. Zul Azhan.- UTUSAN

The post Salah guna kuasa, bekas Pengurus Pertubuhan Peladang Terengganu dijel appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *