GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan segera untuk membaiki kekurangan dan kelemahan dalam sistem amaran awal bencana (EWS) di negara ini.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, ketika dunia berada pada zaman perubahan iklim, kelemahan dalam sistem EWS sehingga gagal mengesan lebih awal bencana banjir tidak seharusnya berlaku.

”Kekurangan-kekurangan sebegini di dalam sistem EWS tidak seharusnya ada dan perlu diperbaiki segera.

”Dalam zaman perubahan iklim, kelemahan sebegini tidak seharusnya dibenarkan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sistem amaran awal bencana (EWS) di negara ini lemah dan gagal mengesan bencana lebih awal seperti banjir besar yang berlaku sekarang dan juga sewaktu tsunami banjir pada 2014.

Ekoran itu, kerajaan mengalami kerugian RM36 bilion setiap tahun dengan lebih 70,000 rakyat menjadi mangsa banjir ketika ini.

Menurut Meenakshi, perbelanjaan berbilion ringgit untuk mengatasi bencana banjir sepatutnya merangkumi sistem amaran serta adanya peta-peta kawasan risiko dengan lebih luas termasuk di peringkat lokal.

”Jika perkara ini tidak dilakukan, negara akan mengalami lebih banyak kerugian dan kehilangan nyawa akibat tragedi banjir di luar jangka.

”Kerajaan tidak boleh melewatkan lagi langkah-langkah ini untuk mengurangkan risiko banjir buruk di masa depan,” katanya. – UTUSAN

The post SAM mahu Kerajaan Pusat segera baiki kelemahan sistem EWS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *