Sesiapa sahaja melangkah masuk ke kafe ini, pasti kagum dengan lukisan mural sekeliling kafe. Santai dan tenang menjadi konsep utama D’Love Garden.

Terletak di Taman Lagenda 1 Peringgit Melaka, kafe ini menyediakan pelbagai makanan berkonsepkan makanan segera dan ringan seperti ayam goreng, burger dan spageti.

Menurut Pengurus D’Love Garden, Roszuwan Roslan, kafe ini menyediakan ayam goreng rangup yang diinspirasikan daripada resipi restoran terkenal tetapi diolah dengan citarasa Malaysia.
“Sebut sahaja ayam goreng, pasti ramai yang menggemarinya.

Selalunya hidangan ini menjadi pilihan makanan seisi keluarga. Ia menjadi inspirasi D’Love Garden untuk menghasilkan ayam goreng yang mempunyai kualiti ala jenama terkenal. Lebih menarik, seisi keluarga boleh menikmati makanan ini sambil menyaksikan pemandangan

mural yang cantik,” terangnya.Bukan setakat itu, katanya bagi menjamin kualiti, dia hanya menggunakan ayam yang disembelih setiap hari dan bukannya ayam beku untuk memastikan kesegaran isi.

“Di kafe ini, kami menggunakan ayam segar supaya apabila digoreng ia lebih rangup dan menyelerakan. Ayam goreng ini boleh dihidangkan bersama sos lada hitam, sos cili atau keju,” katanya.

Tambah Roszuwan, kafenya turut menyediakan hidangan istimewa, nasi tiga rasa yang berbeza dengan restoran lain.

Menurutnya, Nasi Garden ini menggunakan bahan organik seperti nanas dan cili merah yang menjadikan nasi hidangan tiga rasa. Nasi ini kemudian dihidang bersama pilihan masakan Barat termasuk, udang, ikan atau ayam.

“Hidangan nasi ini ringkas sahaja dan boleh dimakan dengan sambal tumis Melaka. ‘Garden’ yang membawa maksud taman sesuai dengan nama nasi yang mempunyai pelbagai rasa. Ia juga diilhamkan daripada rasa tukang masa yang kadang-kadang suka, marah, sedih dan gembira,” ujarnya.

Sebagai pelengkap selera, pengunjung boleh memilih hidangan air legenda Melaka, Long Chan pelbagai rasa termasuk ais krim soda, oren, anggur, buah-buahan dan Sarsi. Bercerita tentang pilihan konsep hiasan dalaman kafe, Roszuwan berkata, terdapat lukisan mural tepi tasik, taman dan tumbuh tumbuhan.

“Dekorasi depan kafe diilhamkan daripada kedai lama di Melaka. Lukisan dalam kedai menampilkan warna tumbuhan hijau dan air sungai. Kami mahu pelanggan menikmati hidangan dalam suasana santai dan tenang,” katanya.

Dalam pada itu, kafe ini turut sesuai dijadikan lokasi majlis yang boleh memuatkan sehingga 70 orang. – Mingguan Malaysia 

The post Santai bagai makan dalam taman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *