SUNGAI PETANI: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor melakukan perbuatan tidak sopan apabila sanggup menggunakan perkataan ‘betina’ bagi merujuk kepada calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sik, Maizatulakmam Othman.

Pengarah Komunikasi BN (BNComms) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata,  perkataan itu langsung tidak sesuai untuk digunakan kerana ia acap kali digunakan kepada binatang.

“Itulah Menteri Besar kita dan saya fikir perbuatan itu merupakan sesuatu yang amat tidak sopan. Perkataan betina ini biasanya kita guna untuk binatang sedangkan kita manusia. Jadi, itu bagi saya memang tidak sopan,” katanya.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Merbok berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran ‘Tekad TokPon’ yang berkisar mengenai aku janji serta usaha akan dilaksanakannya jika memenangi kerusi tersebut di Taman Bandar Baru, di sini.

Menerusi klip video yang tular baru-baru ini, Muhammad Sanusi mengatakan UMNO memilih calon ‘betina’ di Sik walaupun terdapat lebih ramai ‘jantan’ dalam parti itu.

Sementara itu, mengulas tindakan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang menyatakan sesiapa mengundi BN dan Pakatan Harapan akan masuk neraka, Shaiful Hazizy berkata, beliau bukanlah seorang tok guru mahu pun ulama untuk memberikan komen berhubung perkara tersebut.

“Dalam Pas, banyak tok guru dan alim ulama, jadi, mereka semua boleh fikir. Ulama Pas boleh menilai adakah kenyataan sebegitu wajar atau tidak. Beliau sudah minta maaf, jadi apa lagi yang boleh dikatakan selain daripada itu. Tetapi jangan kerap sangat dan pada saya apabila sudah minta maaf, kita bergerak ke depanlah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyelesaian terhadap isu air yang sudah terlalu lama berlarutan di Parlimen itu menjadi antara intipati utama ‘manifesto’ Shaiful Hazizy untuk rakyat di kawasan itu yang merangkumi 10 dasar utama dirasakan mampu serta realistik untuk dilaksanakan.

Katanya, beliau berazam untuk melaksanakan kesemua 10 tekad tersebut sekiranya diberi peluang oleh pengundi di Merbok bagi mewakili mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Keutamaan tertinggi saya adalah untuk menyelesaikan masalah air. Isu ini seakan barah serta bencana buat rakyat Merbok dan boleh dianggap sebagai sesuatu yang kronik. Selain itu tekad saya ini turut merangkumi keperluan semua golongan terdiri daripada anak muda serta veteran. 

“Tekad ini adalah ‘kitab suci’ saya yang akan direalisasikan alam tempoh lima tahun dan walaupun ia mungkin tak dapat menyelesaikan semua isu, tetapi saya percaya tekad ini mampu selesaikan banyak masalah serta keluh-kesah rakyat di Merbok,” katanya.

Mengulas peluangnya di situ, Shaiful Hazizy berkata, setakat ini, maklum balas diterimanya daripada pengundi cukup positif kerana melihat senario politik semasa di mana-mana kawasan sekali pun tiada parti atau calon berkelebihan ketara berbanding pesaing mereka. 

“Ketika ini ahli-ahli parti sudah tentu mengundi untuk calon parti masing-masing tetapi pengundi atas pagar sebahagian besarnya masih belum membuat keputusan. Di Merbok ini ada 36,000 pengundi kali pertama dan jika mereka hendak menilai saya dari segala aspek boleh nilai seperti apa yang dipaparkan di media sosial saya,” katanya. –UTUSAN

The post Sanusi tidak sopan label wanita guna perkataan ‘betina’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *