MIRI: Sarawak berhasil membentuk dua lesen karbon kelestarian alam sekitar iaitu Lesen Karbon Hutan dan Lesen Penyimpanan Karbon.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni mendedahkan lesen tersebut diperolehi kementeriannya setelah setahun ditubuhkan.

“Lesen karbon ini diperkenalkan bagi mengawal penghasilan karbon yang dikeluarkan dari industri minyak dan gas, sekaligus mengekalkan kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga supaya mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050.

“Kita juga telah menghasilkan Lesen Karbon Hutan, ini bagi membolehkan mereka yang mempunyai keluasan tanah yang besar minimum 100-500 ekar menceburkan diri dalam kredit karbon. Selain itu, lesen kedua yang kita berjaya adalah Lesen Penyimpanan Karbon kerana ini salah satu cara paling berkesan untuk kita mengurangkan kesan pelepasan karbon yang dikeluarkan oleh industri minyak dan gas,” katanya.

Tambahnya lagi, usaha itu bagi tujuan pengawalan pelepasan karbon yang merupakan punca perubahan iklim.

“Perubahan iklim telah pun berlaku beberapa abad dahulu kerana perubahan iklim adalah fenomena semula jadi.

“Malah baru-baru ini Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dilantik sebagai pemegang lesen untuk aktiviti penyimpanan karbon,” ujar Hazland.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Transformasi Kontraktor Minyak dan Gas Sarawak (PTKS) 2023 di sini, hari ini.

“Sehingga kini, kita mempunyai 1,600 lebih telaga yang akan digunakan bagi aktiviti penyimpanan karbon.
“Selain itu, Sarawak juga dianggarkan mampu menyimpan kira-kira 9 bilion tan karbon melalui telaga ini,” katanya.

Jelas Dr Hazland, ini sekali gus akan menjadi penyumbang kepada ekonomi dan punca pendapatan baharu bagi Sarawak dengan mengenakan kos sewaan dan permit kepada mana-mana syarikat yang mahu menyimpan karbon di telaga dalam Sarawak.

Sarawak merupakan salah satu tempat di dunia selain Norway dan Amerika yang sesuai untuk menyimpan karbon kerana lokasinya yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. – UTUSAN

The post Sarawak bentuk dua lesen karbon, kekal kelestarian alam sekitar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *