KUCHING: Kemajuan dinikmati negeri Sarawak yang kini di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dipuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keupayaan itu diukur menerusi dasar ekonomi hijau dan hidrogen diperkenalkan Abang Johari yang seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini.

“Saya masih ingat 10 tahun lalu, pernah dibangkitkan oleh seorang pakar tentang kekuatan hidrogen sebagai sumber kekuatan tenaga baru.

“Apabila saya datang ke Sarawak saya telah diberi perincian mengenai perkara itu oleh Abang Johari tentang kejayaan dan apa langkah Sarawak mengenai hidrogen,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri bersama Perdana Menteri di sini pada malam tadi.

Abang Johari sebelum ini berkata, Sarawak bersedia untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 yang bakal membuka lembaran baharu ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang kini berada di Kuching bagi lawatan kerja selama dua hari bermula Khamis berkata, Semenanjung dan Sabah wajar menjadikan Sarawak sebagai contoh terbaik perpaduan.

Tambah Anwar, meskipun Sarawak mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, sikap hormat-menghormati dan toleransi tinggi menjadi pemangkin utama dalam perpaduan. – UTUSAN

The post Sarawak nikmati kemajuan, perpaduan jadi contoh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *