SEGAMAT: Satu undi untuk pembangkang, bererti satu undi juga untuk menempah tiket meranapkan negara.” 

Demikian ditegaskan Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, satu undi untuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) atau mana-mana parti pembangkang bermakna satu undi juga untuk meranapkan  masa depan Malaysia dan Johor. 

“Satu undi untuk BN bermaksud satu undi ‘tempahan’ untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara dan negeri ini.

“Harus diingat PN pernah beria-ia mahu bersama PH sebelum ini. Maka tidak mustahil PN akan bekerjasama juga dengan PH akhirnya. Terutama sekali jika mereka gagal peroleh cukup kerusi untuk bentuk kerajaan pada 19 November nanti.

“DAP malah nampak  lebih menguasai semasa PH jadi kerajaan 22 bulan. Timbalan Menteri daripada DAP pun dilihat lebih berkuasa berbanding Menteri.

“Secara tersirat, satu undi untuk PH bermakna satu undi juga untuk DAP kerana parti komponen itu terang-terangan pembuat dasar PH,” katanya selepas penyampaian 10 gerai penjaja kecil di Bahagian MIC Sekijang di Bandar IOI, di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN Parlimen Sekijang, Md. Saleheen Mohammad dan Pengerusi PRU15 BN Parlimen Sekijang, Datuk Baharom Mohammad. 

Onn Hafiz  yang juga Menteri Besar berkata, BN melihat semua parti yang bertanding adalah pencabar yang mempunyai peluang sama rata.

Justeru, BN perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan namun bersikap ‘underdog’.

“Kita akan bekerja lebih keras dan merayu kepada rakyat Johor untuk memberi mandat kepada kerajaan BN lagi agar dapat bawa kembali kemakmuran kepada Bangsa Johor dan negara,” katanya. – UTUSAN

 

The post ‘Satu undi untuk pembangkang, satu undi ranapkan negara’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *