PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan terus menyokong Dasar Generasi Penamat (GEG) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sekiranya tidak lagi menjadi ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, hal ini kerana RUU berkenaan merupakan agenda penting kepada negara selain telah melalui proses Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.

“Saya akan terus menyokong supaya GEG ini dibawa ke Parlimen dalam apa jua kedudukan saya selepas ini mungkin sebagai ahli Parlimen, mungkin sebagai rakyat biasa.

“Saya (juga) akan terus ‘push’ supaya kerajaan yang baharu membawa RUU ini sebab saya rasa RUU ini dah baik, mungkin pada awalnya ada sedikit cadangan untuk buat pindaan dan kita dah lalui proses bipartisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan Pelancaran Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim&Fit bagi pelaksanaan di semua kementerian di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU15 tidak tunduk kepada syarikat tembakau.

“Saya harap kerajaan baharu yang akan dibentuk dan menteri kesihatan yang baharu selepas pilihan raya tidak akan tunduk kepada syarikat tembakau dan syarikat syarikat yang terbabit dalam penjualan produk rokok.

“Sebab mereka banyak mempengaruhi (ahli) Parlimen sedia ada dan juga dalam media yang menakutkan rakyat terhadap RUU ini dan saya harap kita jangan jadi tawanan kepada syarikat tembakau ini,” ujarnya.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat.

Namun, pada 2 Ogos, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Jan 2007.

Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2017.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Pemakanan akan melaksanakan sebuah projek rintis bermula awal tahun hadapan bagi menilai kebolehlaksanaan dasar pelabelan menu makanan.

Jelasnya, pada peringkat awal, projek rintis berkenaan akan membabitkan kafeteria KKM dan kementerian-kementerian lain serta rangkaian restoran dan francais.

“KKM akan sediakan segala maklumat pengiraan kalori supaya mereka tidak perlu keluarkan kos untuk dapatkan konsultan bagi melabel menu, cuma kita akan minta kerjasama daripada pengusaha restoran apabila dah ada maklumat kalori dapat diletakkan pada menu-menu di kedai makan.

“Selepas itu kita akan tengok dan kaji pelaksanaan sama ada maklumat kalori ini membawa kepada perubahan tingkah laku contohnya pemilihan makanan lebih sihat atau kuantiti yang lebih kecil,” katanya

Tambah beliau, sekiranya projek rintis berkenaan berjaya dilaksanakan, ia bakal diperluas ke semua restoran lain di seluruh negara.

Ketika ditanya sama ada projek berkenaan bakal membawa kepada dasar pelabelan menu di negara ini, Khairy berkata, kementerian akan menilai dari segi data dan kejayaan polisi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai dasar pelabelan dilaksanakan.

“Kita kena jalankan sekurang-kurangnya setahun baru kita boleh tengok sama ada ia membawa kepada perubahan tingkah laku masyarakat atau pun tidak.

“Kita juga akan tengok dari segi data dan dari segi kejayaan polisi sebelum kita membuat sebarang keputusan mengenai dasar pelabelan wajib,” ujarnya. –UTUSAN

The post Saya akan terus sokong GEG – Khairy appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *