MUKADIMAH

PADA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), DAP melakukan beberapa perubahan dengan mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Bakri, YEO BEE YIN sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Puchong menggantikan Gobind Singh Deo.

Penyandang tiga penggal berturut-turut kerusi Puchong itu namun ‘dilarikan’ DAP ke Parlimen Damansara bagi menggantikan penyandang, Tony Pua.

Bagaimanapun, nama Bee Yin tiba-tiba hangat diperkatakan hanya sehari selepas penamaan calon apabila Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mengeluarkan satu kenyataan mengenai kemungkinan wujudnya hubungan politik-perniagaan dan konflik kepentingan terhadap calon DAP itu di kawasan ini.

Bee Yin yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah kerajaan PH pada 2018 merupakan isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng iaitu anak kepada pengasas IOI Group Bhd., mendiang Lee Shin Cheng.

Wartawan Utusan Malaysia, KAMARIAH KHALIDI baru-baru ini mendapatkan pandangan beliau berhubung perkara tersebut termasuk keyakinan DAP untuk mempertahankan Parlimen Puchong buat kali keempat berturut-turut.

UTUSAN: Jauh Yang Berhormat (YB) ‘terbang’ ke Puchong dari Bakri. Orang kata YB ada kepentingan perniagaan di kawasan Puchong. Benarkah?

YEO BEE YIN: Saya telah beri banyak komen mengenai isu tersebut sebelum ini. Parlimen Puchong sebahagian besarnya merangkumi kawasan Serdang dan Seri Kembangan jadi pengundi di sini lebih tahu, pengundi di kawasan Puchong juga tahu kerana kebanyakan mereka mengundi di Parlimen Subang.

Saya tak mahu terus berada dalam topik ini sebab saya sudah jelaskan bahawa Parlimen Puchong bukan kawasan Puchong, kawasan Puchong sebenar di bawah Parlimen Subang.

Puchong kubu kuat DAP. Gobind Singh Deo menang besar pada PRU14. Adakah YB mampu kekalkan momentum sokongan pengundi di sini?

Saya akan berkempen sehabis baik di Parlimen Puchong dan untuk PRU15 terdapat sekitar 30 hingga 40 peratus pengundi baharu jadi kita perlu kenal pasti, memahami serta memastikan mereka beri kepercayaan kepada Pakatan Harapan.

Gobind nampaknya ‘dilarikan’ DAP ke Parlimen Damansara. Adakah ia strategi atau takut pengundi tolak kali ini kerana ramai penduduk merungut beliau tak nampak bantu rakyat. Komen YB.

Saya rasa Gobind banyak membantu rakyat tapi memang tidak dinafikan setiap ahli Parlimen akan terima rungutan.

Namun kebanyakannya berpuas hati dengan apa yang Gobind lakukan, jadi saya tak rasa prestasi Gobind adalah beban, malah prestasinya menjadi tekanan kepada saya untuk buat lebih baik.

Beliau memang kuat bersuara di dalam Parlimen jadi tekanan lebih besar kerana orang Puchong sudah biasa dengan beliau yang kuat dan lantang di Parlimen berbanding saya yang lebih lembut sedikit tetapi Gobind memang sangat bagus mewakili Parlimennya.

Apakah tindakan segera yang mampu dilakukan jika YB menang sebagai balasan penduduk memberikan undi?

Saya akan beri fokus kepada beberapa isu tempatan seperti trafik, pengangkutan awam, banjir, pangsapuri dan flat kos rendah. Kita akan cuba atasi masalah-masalah tersebut dengan perancangan yang holistik.

Sentimen pengundi muda dan Melayu. Sejauh mana keyakinan menarik sokongan golongan ini.

Saya pun tak tahu. Saya tak yakin lagi kerana mereka (belia) adalah golongan yang pertama kali mengundi tapi kita akan buat sedaya upaya supaya mereka mengenali saya dan Pakatan Harapan.

Golongan muda perlu buat satu keputusan, saya berharap mereka akan keluar mengundi pada PRU15 dan sekurang-kurangnya ada suara untuk menentukan masa depan mereka sendiri. –UTUSAN

 

The post Saya belum yakin dapat sokongan pengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *