KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Raisa mengakui, lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa ibundanya ketika ditugaskan menjadi juri pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza 9 (GV9), Ahad lalu.

Jelas Raisa, dia berbuat demikian kerana khuatir penyampaiannya menggunakan bahasa Indonesia ketika memberi komen kepada peserta GV9 tidak difahami dan disalah erti.

“Saya bimbang tersalah cakap kerana ada perkataan sama tetapi membawa maksud berbeza dalam bahasa Indonesia dan Malaysia. Saya takut kalau komen saya jadi kurang tepat dan salah.

“Bagi saya, lebih baik memberikan komen dalam bahasa Inggeris kerana maksudnya lebih tepat dan tidak difahami semua. Pihak produksi bagaimanapun, ada memaklumkan mereka tidak keberatan kalau saya mahu menggunakan bahasa Indonesia,” katanya.

Penyanyi lagu Kali Kedua itu ditemui ketika sidang media Konsert Raisa Live In Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Raisa turut menjelaskan, dia tidak terasa hati atau mengambil serius usikan pengacara, Nabil Ahad yang mengajuknya bercakap dalam bahasa Inggeris ketika memberi komen kepada Hazrul Nizam.

Raisa bagaimanapun, memohon semua pihak tidak marah atau menghentam Nabil kerana usikan tersebut.

“Saya ada berjumpa Nabil di konti radio Era FM, semalam tetapi saya tidak ingat apa yang terjadi sebab dia bercakap terlalu pantas. Tolong jangan marah Nabil… kesian dia,” ujarnya lagi.

Nabil sebelum ini, menjelaskan dia dan Raisa sudah bertegur sapa sejak di belakang pentas lagi, malah penyanyi itu turut menganggap gurauan dapat membantunya lebih selesa dalam program tersebut.

Terdahulu, Nabil diselar susulan gurauannya yang dianggap agak melampau sehingga ada pihak mendakwa Raisa seperti kelihatan kurang selesa dengan situasi tersebut.

Sementara itu, Raisa memberitahu, dia teruja untuk mengadakan konsert pertama di Kuala Lumpur.

“Ini kali pertama saya menjayakan konsert di Kuala Lumpur dan teruja dapat datang ke sini. Sebelum ini, keluarga saya pernah duduk di negara ini dan saya sempat berjalan-jalan dengan mereka. Tetapi, itu cerita tujuh tahun lepas.

“Sebelum ini, saya pernah ke Pulau Pinang dan Kota kinabalu, tetapi ke Kuala Lumpur ini kali pertama,” katanya.

The post Saya berbahasa Inggeris sebab bimbang timbul salah faham – Raisa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *