ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menepis dakwaan beliau merupakan orang luar di kawasan tersebut seperti tohmahan dilemparkan pihak lawan.

Menurut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu, arwah bapanya, Ibrahim Yaakob merupakan bekas guru yang mengajar di sekolah sekitar Kuala Kedah ketika beliau masih kecil selain mempunyai ramai saudara-mara di kawasan itu.

“Ayah saya pernah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kechai dan seingat saya Kuala Kedah ini tempat saya juga kerana saya selalu mengikut arwah bapa waktu dia mengajar di sekolah dan masjid.

“Kebanyakan penduduk mengenali arwah bapa kerana khidmatnya dahulu. Jadi saya berhasrat menyambung legasi arwah bapa untuk berkhidmat di sini,” katanya ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama usahawan Kuala Kedah, di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu, visi beliau antaranya adalah untuk membela kebajikan penduduk yang sekian lama terhimpit dengan pelbagai masalah seperti bekalan air, banjir kilat, pengangguran, masalah sosial seperti dadah dan kemiskinan.

“Setelah bertemu penduduk dan mendengar keluhan mereka saya dapati banyak yang perlu saya usahakan untuk mereka. Insya-Allah jika terpilih saya mahu berjuang habis-habisan untuk penduduk di sini di Parlimen.

“Masalah yang penduduk hadapi bermacam-macam sedangkan kawasan ini berpotensi untuk dikembangkan. Saya bertemu wanita yang gigih berniaga, ada produk bagus untuk dikembangkan namun terperuk. Saya azam nak lonjakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Tambah Mashitah, Kuala Kedah juga mempunyai potensi yang banyak untuk dibangunkan kerana logistiknya yang merangkumi kawasan laut dan darat.

“Contohnya, Kuala Kedah mempunyai Terminal Feri tetapi infrastruktur di kawasan itu masih ditakuk lama sehingga menjadikan orang beralih ke Kuala Perlis untuk ke Langkawi. Banjir dan kesesakan tempat letak kereta menjadikan orang tidak suka ke kawasan ini. Saya ingin ubah perkara itu,” katanya.

Menyentuh kempennya yang menggunakan panggilan Mak Teh, kata Mashitah, beliau berharap ia dapat mengeratkan hubungannya dengan pengundi.

“Panggilan ini semakin diterima, semua sudah panggil saya Mak Teh tidak kira Melayu, Cina atau India. Saya suka dipanggil sebegitu kerana terdengar lebih mesra. Apabila lebih mesra saya anggap lebih mudah untuk pengundi tanpa segan silu berinteraksi dengan saya dan meluahkan apa sahaja masalah mereka,” katanya. – UTUSAN

The post Saya bukan orang luar, bapa bekas guru di Kuala Kedah – Mashitah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *