JERLUN: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertahan kenyataannya yang didakwa mempertikai kemampuan calon wanita menjadi Ahli Parlimen Sik.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, ucapannya dibuat dalam konteks kawasan Parlimen itu yang memerlukan seorang ahli Parlimen lelaki untuk berkhidmat.

“Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya (dan) dalam konteks Sik dengan geografi, sosio-ekonomi, sosio-budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

“Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di program Ceramah Umum Pilihan Raya ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN), sebentar tadi.

Muhammad Sanusi berkata, sebagai penduduk yang tinggal lama di Sik, beliau lebih memahami keperluan Parlimen itu untuk diwakili seorang lelaki berbanding wanita.

“Saya duduk situ lama dah, semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli Parlimen sebelum ini lelaki dan keperluan itu masih ada sampai sekarang, macam di Kuala Lumpur dan sesetengah kawasan bandar sesuai sangat perempuan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.

Justeru, pihak yang mendesaknya agar memohon maaf perlu memahami dialek Sik dan menyangkal tuduhan bahawa beliau memperlekeh golongan wanita.

Malah, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan wanita lebih kehadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh jumlah kaum itu yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi berbanding lelaki.

Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi ahli Parlimen di Sik yang kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang menyatakan mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

“Pemuda Pas itu pun dah minta maaf, dia terlanjur dia kata. Saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang yang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita ini dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang pemaaf,” katanya. – UTUSAN

The post Saya bukan seksis, ceramah dalam konteks Parlimen Sik – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *