BARCELONA: Pengurus Barcelona, Xavi me­ngakui, pasukannya tidak layak berada dalam Liga Juara-Juara selepas seri 3-3 menentang Inter Milan di Camp Nou semalam menyebabkan peluang mereka untuk ke peringkat kalah mati semakin tipis.

Biarpun secara matematik harapan masih ada, namun selain wajib menang dua baki saingan menentang Bayern Munich dan Viktoria Plzen, nasib Barca juga bergantung kepada keputusan Inter.

Bayern yang menumpaskan Plzen 4-2 menjadi pasukan pertama dari Kumpulan C melayakkan diri selepas me­ngumpul 12 mata. Inter di kedua dengan tujuh mata, diikuti Barcelona empat mata.

REAKSI Xavi ketika menonton aksi Barcelona menentang Inter Milan.

“Saya sangat kecewa, sedih, marah dan perlu mengkritik diri sendiri. Kami tidak layak bermain dalam Liga Juara-Juara. Ia menyakitkan saya tetapi inilah kebenaran.

“Saya mohon maaf kepada peminat kerana kami melakukan kesilapan, kami telah menetapkan fikiran untuk tidak gagal tetapi kami telah gagal, jadi kami perlu memohon maaf.

“Kami akan berusaha untuk mengubah keadaan ini dan memenangi gelaran. Moga ia tidak menjejaskan fokus kami dalam La Liga, Copa del Rey atau Super Copa,” ujar Xavi.

Barcelona kini berada di puncak La Liga, jadi gergasi bola sepak Sepanyol itu tidak berdepan malapetaka sepenuhnya.

PEMAIN Inter Milan, Robin Gosens (tengah) meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang Barcelona di Camp Nou semalam. – AFP

Begitupun, keputusan seri menjejaskan keyakinan pemain menjelang aksi El Clasico menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu, Ahad ini.

“Matlamat musim ini masih sama, memenangi trofi. Kami masih di landasan untuk mencapai perkara itu,” kata Xavi.

Robert Lewandowski meledak dua gol pada lewat permainan bagi menyelamatkan Barcelona daripada tersingkir awal dari saingan elit Eropah itu.

Tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi Ousmane Dembele pada minit ke-40 sebelum pelawat menjaringkan dua gol menerusi Nicolo Barella (m-50) dan Lautaro Martinez (m-63).

Penyerang Poland itu ­menyamakan kedudukan pada minit ke-82 dan sekali lagi 3-3 pada masa kecederaan menerusi tandukan selepas Robin Gosens meledak gol ketiga ­Inter. – AGENSI

The post Saya kecewa, sedih, marah – Xavi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *