LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan beliau masih mempunyai kekuatan dan kesihatan yang baik untuk bekerja sekiranya perlu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu bagaimanapun menjelaskan, hasrat untuk mengemudi negara itu hanya akan ditentukan jika Gerakan Tanah Air (GTA) menang serta terdapat desakan untuk beliau kembali ke Putrajaya. 

“Saya setakat ini boleh berfungsi lagi. Saya boleh bergerak, saya boleh bercakap. Saya boleh berunding, saya boleh ni semua. Walaupun umur saya lebih tapi saya masih lagi boleh bekerja.

“Kalau nak juga (dilantik sebagai Perdana Menteri) tak akan lah saya nak tolak tapi seboleh-bolehnya taklah (tidak mahu),” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA Langkawi di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir terbuka apabila terdapat desas-desus mengatakan kerusi Langkawi akan ditandingi ramai calon termasuk bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Ezam Mohd. Nor.

“Kalau dia nak bertanding ok sahaja, ini (negara) demokrasi membenarkan siapa sahaja bertanding, kalau sampai 100 orang bertanding di Langkawi pun ok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Bajet 2023 yang diumumkan pada 7 Oktober lalu adalah belanjawan bagi meraih undi rakyat pada PRU15 akan datang selain bajet politik kerana ia dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen.

“Jadi, apa sebabnya kemukakan bajet, walaupun kita tahu kita mungkin akan bubarkan kerajaan. Mereka kemuka bajet kerana nak adakan pilihan raya. Nak bagi duit kepada semua orang. Jadi, nak beli undi. Itu bajet beli undi,” katanya.

Kata bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu lagi, kebiasaannya, terdapat perbahasan yang akan dibuat di Parlimen selepas pembentangan bajet dilakukan sebelum mengadakan PRU.

Namun, katanya, pembubaran Parlimen yang dibuat tiga hari selepas pembentangan bajet menyebabkan ahli Parlimen tidak diberikan peluang untuk membahaskan bajet tersebut.

“Biasanya apabila kita kemuka bajet, parti lawan ada peluang beri pendapat. Ini tak bagi peluang langsung (kepada) parti lawan (nak) kata apa-apa. Tak ada masa, tiba-tiba dibubarkan Parlimen. Lepas itu kata pula, lepas pilihan raya kami akan buat (pembentangan semula),” katanya. –UTUSAN

The post Saya masih boleh berfungsi jadi PM kali ketiga -Tun M appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *