PASIR MAS: Calon Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas, Datuk Husam Musa menegaskan beliau perlu diberi mandat untuk kembali semula ke Dewan Rakyat bagi menuntut dan membawa pulang royalti yang merupakan hak mutlak rakyat negeri ini.

Husam berkata, tuntutan royalti merupakan salah satu agenda negeri yang akan diperjuangkan jika diberi mandat oleh pengundi untuk kembali ke Parlimen.

Menurutnya, pada masa sama isu bekalan air bersih akan turut diperjuangkan bagi memastikan masalah yang membelenggu rakyat negeri ini dapat dipulihkan serta usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pasir Mas.

“Bagi pengundi di Pasir Mas saya sudah mula memahami dan mengambil maklum segala masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Insya-Allah jika diberi mandat saya akan berusaha menyelesaikan masalah itu dengan sebaik mungkin,” katanya hari ini.

Husam memberitahu, walaupun bertanding di kubu Pas, dia sama sekali tidak gentar.

Katanya, semangat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN) menjadi azimat buatnya bertanding di Pasir Mas.

“Apa salahnya saya lawan di kubu kuat Pas (Pasir Mas). Semua kawasan di Kelantan adalah kubu kuat Pas.

“Saya menawarkan diri untuk berkhidmat di Pasir Mas berasaskan rekod prestasi (semasa berada dalam kerajaan negeri) sebelum ini,” ujarnya.

PRU15 menyaksikan Husam bakal berdepan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Datuk Ab. Ghani Harun (Barisan Nasional) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Gerakan Tanah Air).

Pada PRU14, Ahmad Fadhli menang kerusi parlimen Pasir Mas dalam pertandingan empat penjuru selepas meraih 28,080 undi dengan majoriti 13,075.

Ahmad Fadhli menewaskan calon UMNO,  Nor Azmawi Ab, Rahman yang memperoleh 15,005 undi, Bebas  (Datuk Ibrahim Ali 5,373 undi) dan PKR (Che Ujang Che Daud 5,093 undi). – UTUSAN

The post Saya perlu ke Parlimen tuntut royalti Kelantan – Husam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *