PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau bersedia dicabar untuk merebut jawatan Presiden bagi pemilihan UMNO akan datang.

Malah, Ahmad Zahid menyatakan beliau juga pernah dicabar sebelum ini bagi jawatan nombor satu UMNO itu, namun jawatan itu memihak kepadanya dengan jumlah undian yang besar.

“Dulu pun saya dicabar, dua orang cabar saya. Tetapi jumlah undi dua orang itu masih belum dapat melebihi undi yang saya perolehi.

“Bukan saya mahu riak tapi ia telah terbukti pada pemilihan UMNO pada 2018 di mana kombinasi undi kedua-dua yang cabar saya itu sangatlah kurang berbanding undi yang saya dapat.

“Saya bukan riak, bukan juga sombong dan bukan takabbur atau ujub,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau juga menjelaskan bahawa 160,000 perwakilan UMNO di seluruh negara mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kepimpinan parti pada masa akan datang.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan UMNO di seluruh negara dan mereka akan menentukan sama ada kepimpinan sedia ada perlu ditukar atau tidak bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan di dalam arena politik negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga mengesahkan akan menghantar jemputan kepada setiausaha-setiausaha agung parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan minggu hadapan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan usaha mengukuhkan parti dibuat pimpinan sedia ada untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya lagi, hanya empat kali pemilihan Presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun UMNO.

Khabar angin turut mengaitkan jawatan Presiden UMNO itu akan dicabar oleh Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin. – UTUSAN

The post Saya pernah dicabar dan menang undian besar – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *