NEW YORK: Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Friends, Jennifer Aniston,53, menyelar tuduhan tidak berasas yang mendakwa perkahwinannya dengan aktor, Brad Pitt, berakhir kerana dia tidak mahu mempunyai zuriat.

Malah, Aniston juga kesal apabila ada pihak menuduh dia lebih mengutamakan kerjaya berbanding peranannya sebagai isteri pada waktu itu.

“Semua itu mengarut dan bohong! Kenyataan itu seolah-olah memperlihatkan saya sebagai wanita yang mementingkan diri.

“Saya hanya mementingkan kerjaya? Mengarut. Tahukah anda semua betapa saya ketika itu berusaha untuk hamil? Ia adalah fasa yang sangat mencabar buat saya. Fasa ingin memiliki anak.

“Bertahun-tahun lamanya pelbagai spekulasi datang menerpa dan harus saya akui, semua itu tidak mudah buat saya,”katanya.

Menurut Aniston, dia tidak banyak membuka mulut mengenai usahanya untuk mendapatkan anak kepada umum ketika masih bersama Pitt.

Malah katanya, pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk hamil, namun rezeki tidak menyebelahi dirinya dan bekas suami.

“Saya sanggup lalui proses rawatan persenyawaan in vitro (IVF), minum teh cina atau namakan apa sahaja usaha, saya lakukan semata-mata untuk mendapatkan zuriat.

“Saya sudah buat dan cuba. Bahkan, kalau ada orang suruh saya ‘bekukan telur’ pun saya sanggup. Tetapi, tiada siapa yang tahu hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aniston mengakui, tidak menyesal melalui pengalaman itu meskipun sehingga kini, dia belum dikurniakan zuriat.

“Beginilah saya sekarang, meneruskan kehidupan seperti biasa. Sebenarnya, saya lega kerana sudah tidak perlu lalui semua itu lagi.

“Boleh dikatakan, pada usia lewat 30-an dan 40-an, saya sudah lalui semua pengalaman sukar itu. Kalau tidak lalui semua itu, saya tidak mungkin berada di mana saya berada sekarang.

“Kalau tidak, mungkin saya masih menjadi wanita yang penakut, selalu gementar dan tidak pasti dengan kemahuan diri. Sekarang? Langsung saya tidak kisah,” katanya.

Aniston mendirikan rumah tangga dengan Pitt pada 2000 sebelum bercerai pada 2005.

Sejurus selepas pengumuman perceraian mereka dibuat, bekas suaminya yang juga pelakon filem Ocean Eleven menjalin hubungan dengan Angelina Jolie.

Selepas sedekad bersama, Pitt dan Jolie bagaimanapun berpisah pada 2016.

The post Saya tak nak anak? Itu semua bohong! – Jennifer Aniston appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *