KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon, Zul Ariffin, 36, memuat naik satu ciapan di Twitter yang menyebut ayat ‘makan cili’, baru-baru ini, bukan bertujuan menyindir mana-mana pihak.

Membetulkan tanggapan itu, Zul berkata, ciapan tersebut tidak mengandungi sebarang maksud tersirat, sebaliknya hanya nasihat biasa berkaitan pemakanan yang ditujukan kepada semua orang.

“Kalau tidak makan cili, tidak perlulah hendak menggelupur. Selalunya, orang yang makan cili memang selalu menggelupur. Kalau betul ada yang terasa, maknanya orang itu sedang makan cili (ketawa). 

“Lain kali, bacalah awal ciapan saya dulu supaya tidak menggelupur,” katanya ketika ditemui usai majlis tayangan perdana filem Talbis Iblis, malam tadi.

Terdahulu, Zul memuat naik ciapan di akaun Twitter berbunyi: ‘Salam, semoga hari yang baik untuk semua. Jaga makan dan kurangkan makan cili, nanti menggelupur. Minum air yang banyak, baik untuk kesihatan’.

Berikutan ciapannya itu, ada pihak mengaitkan perkara itu dengan hukuman denda RM30,000 terhadapnya atas kesalahan memuat naik kandungan sumbang dalam media sosial, baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya kesediaannya untuk mempromosikan drama Perempuan Itu yang menjerat dirinya dengan kontroversi, Zul belum dapat memberikan kata putus.

“Saya tidak tahu dan tidak pasti sama ada drama itu akan ditayangkan atau tidak. Kalau ada, insya-Allah. Kita tengok macam mana.

“Apapun, terpulang pada mereka. Jika pihak di sana berminat, perkara ini boleh dibawa berbincang. Itupun bergantung bagaimana perbincangan itu dilakukan,” katanya.

Menyentuh perkembangan kerjayanya, Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin bakal muncul dengan filem arahan Kabir Bhatia, Talbis Iblis yang akan menemui penonton di negara ini dan Singapura bermula 20 Oktober ini.

Filem itu turut menampilkan Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Sherie Merlis dan Jay Iswazir.

 

The post Saya tak sindir sesiapa, tapi kalau makan cili memang terasa – Zul Ariffin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *