KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung Batu Puteh dibuat setelah menerima nasihat pegawai yang dilantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, justeru pelantikan Mohamed Apandi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara dilihat mempunyai konflik berkepentingan.

“Itu pendapat dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), ada kecuaian. Kita angkat Apandi jadi pengerusi (jawatankuasa itu), dia ada conflict of interest (konflik berkepentingan).

“Sepatutnya angkat orang lain. Walaupun demikian kalau nak bawa ke mahkamah antarabangsa, biar mahkamah antarabangsa putuskan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan dan Pameran Kanan bertajuk Melalui Pandemik: Memperkasa Warga Emas Untuk Tahun Terbaik Mereka di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Khamis lalu, Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Dr. Mahathir terhadap tuntutan kes Batu Puteh.

Ismail Sabri dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pasukan petugas khas dalam kes itu bahawa Dr. Mahathir mungkin telah membuat kesilapan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018 melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura, Batuan Tengah kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, seharusnya negara menerima keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Bagi saya, kita sudah janji dengan Singapura, kita akan terima apa jua keputusan dibuat mahkamah. Lepas itu apabila mahkamah buat keputusan), kita tak boleh tolak. Kita dah janji,” katanya.

Dr. Mahathir juga berkata, sama seperti kes Pulau Sipadan dan Ligitan tidak boleh dituntut kembali Indonesia selepas diputuskan mahkamah.

“Kita setuju dari awal. Kita boleh pergi mahkamah kalau setuju keputusan mahkamah akan diterima. Sekarang ini kita nak tolak. Kita perlu jaga janji kita,” katanya. – UTUSAN

 

The post ‘Saya terima nasihat pegawai dilantik Apandi’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *