KUALA LUMPUR : Meskipun berdepan masalah kesihatan, vokalis kumpulan Def Gab C, Asheed, enggan meraih simpati orang, sebaliknya tetap berusaha keras mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Bapa kepada empat anak ini berkata, dia perlu sentiasa berfikiran positif dan berusaha mencari sumber pendapatan lain kerana enggan terlalu bergantung kepada tawaran menyanyi semata-mata.

“Mahu atau tidak, saya kena positif dan perlu buat sesuatu walaupun keadaan saya begini. Tidak mahulah saya berharap dan susahkan orang rumah atau minta simpati kawan-kawan.

“Orang jadi meluat kalau kita selalu minta tolong. Tidak mengapa, saya akan usaha sendiri selagi diberikan Tuhan kudrat dan kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Asheed memaklumkan, sebelum menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), dia pernah menjalankan perniagaan jus kesihatan, namun terjejas akibat gelombang pandemik.

“Ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19, perniagaan yang saya jalankan teruk terjejas.

“Saya tiada pilihan, terpaksa menghentikannya kerana produk rosak akibat luput tarikh. Kalau nak buat semula, saya kena cari modal lain,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dirinya yang berdepan dengan ujian, kata Asheed, dia merindui zaman kelincahannya beraksi di atas pentas, namun akur pasti ada banyak hikmah yang tersirat.

“Berbeza benar saya sekarang, berbanding ketika zaman aktif dulu. Sekarang kalau menyanyi, ada ketika saya rasa kekok. Tetapi, saya kena terima dan reda kerana semua ini ada hikmahnya.

“Mungkin dulu saya terlalu aktif ketika buat persembahan di pentas. Kalau tengok semula video lama, memang teruk juga saya dulu. Siapa yang melalui zaman itu, tahulah saya bagaimana.

“Tetapi, zaman itu sudah berlalu dan saya tidak dapat putar kembali masa. Saya terima apa yang ditakdirkan dan tetap ikuti rawatan berkala untuk merawat penyakit. Apa yang penting jangan mengalah.

“Saya rasa gembira sekarang sebab tahap asid urik sudah banyak menunjukkan perubahan positif. Sudah hampir normal. Tetapi, saya teruskan juga pantang makanan dan jaga kesihatan,”katanya.

Sebelum ini, Asheed pernah membuat pendedahan menanggung derita penyakit sendi atau gout selama 20 tahun menyebabkan beberapa bahagian anggota badannya membengkak.

The post Saya tetap kena bekerja, tak mahu susahkan isteri – Asheed appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *