DOHA: Lionel Scaloni menangis selepas Lionel Messi memberi inspirasi kepada Argentina untuk melangkah ke final Piala Dunia dengan menumpaskan Croatia 3-0 awal pagi tadi.

Ketua Jurulatih Argentina itu berkata, adalah ‘satu penghormatan untuk melatih Messi’ dan melihat dia bermain.

Messi meledak satu gol dan mencipta umpanan untuk jaringan Julian Alvarez di Stadium Lusail bagi menempah pertemuan sama ada menentang Perancis atau Maghribi di venue sama, Ahad ini.

Pemain berusia 35 tahun itu yang telah meledak lima gol di Qatar, rekod yang hanya boleh disaingi rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe mendapat peluang terakhir untuk menjulang Piala Dunia, satu-satunya trofi yang tidak pernah dimenangi.

 

LIONEL Messi (depan) meraikan kemenangan Argentina.

Scaloni, rakan sepasukan Messi dalam skuad Argentina pada Piala Dunia 2006 di Jerman berkata, persembahan pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu memacu seluruh negara ke hadapan.

“Saya berbesar hati untuk melatihnya dan melihat dia bermain.

“Setiap kali anda melihatnya bermain, ia adalah sumber motivasi yang besar untuk rakan sepasukannya, peminat dan seluruh dunia,” kata Scaloni yang menangis selepas tamat perlawanan.

Scaloni juga mengakui, dia tidak menyangka Argentina mampu melakar kemenangan selesa ke atas naib juara 2018, Croatia, namun menggesa barisan pemainnya agar segera fokus kepada perlawanan akhir.

Messi menyempurnakan penalti dan kemudian mencipta umpanan untuk dua gol Alvarez ketika Argentina menang 3-0.

“Keputusan itu tidak menggambarkan perlawanan sebenar. Saya rasa kami berhak untuk menang tetapi tidak dengan jumlah jaringan seperti itu,” kata Scaloni. – AGENSI

The post Scaloni bangga latih Lionel Messi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *