KUALA LUMPUR: Sebahagian besar perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah diselesaikan, kata  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu merangkumi pelantikan wakil dalam Ahli Lembaga di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pertambahan bantuan pendidikan dan infrastruktur kesihatan serta peruntukan perbelanjaan tahunan kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, hal berkenaan penting supaya kerajaaan dilihat serius menunaikan janji dalam perjanjian tersebut.

“Pertama, (soal) perbelanjaan semuanya termasuk RM10 juta (kepada) dan RM20 juta kepada sekolah. Jadi sekarang ini kita perturunkan pelaksanaan di peringkat negeri di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dengan tentunya syarat pengawasan dan peraturan kewangan yang ketat serta dipantau Kementerian Kewangan.

“Kemudian wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN, jadi saya telah luluskan.

“Ketiga soal peruntukan tahunan ada dalam perjanjian itu. Selama ini Sarawak dapat RM16 juta, jadi bagi dia tak munasabah sumbangan perbelanjaan. Oleh itu kita buat ada beberapa format peraturan yang meningkatkan kepada RM300 juta setahun (yang mana) itu tetrakluk kepada perincian perjanjian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata, sebahagian besar perkara yang dapat diselesaikan itu adalah hasil dukungan semangat perpaduan semua parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian secara bersama.

“Oleh kerana semangat perpaduan ada bersama, sebahagian besar daripada isu (MA63) telah kita selesaikan.

“Maknanya kalau ada kehendak politik (dan) ada ketegasan untuk menegakkan keadilan, maka kita dapat selesaikan.

‘Saya tak mahu nanti orang kata Anwar ini tidak ada kesanggupan, tidak ada komitmen dan tidak ada keikhlasan, sebab itu kita mula dengan apa yang boleh kita lakukan,” katanya. – UTUSAN

The post Sebahagian besar MA63 diselesaikan – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *