PASIR MAS: Jalan Kampung Bakong di sini yang baharu diturap hampir sebulan lalu mengalami kerosakan teruk selepas diha­nyutkan arus deras banjir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Mohd. Faizul Yusuf, 43 berkata, susulan itu penduduk mengambil inisiatif sendiri membersih­kan laluan yang terjejas teruk itu menggunakan jentolak bagi membolehkan ia dapat digunakan semula.

Menurutnya, kerja-kerja pem­­bersihan itu dilakukan secara gotong-royong kerana ia merupakan laluan utama penduduk untuk keluar masuk ke kampung ini.

“Sebenarnya jalan ini baharu sahaja diturap sebulan lalu sebelum bencana banjir melanda.

Bagaimanapun aduan belum dibuat kepada pihak Majlis Daerah Pasir Mas kerana air banjir baru sahaja surut dua hari lalu.

“Untuk makluman, kerosakan jalan di kampung ini berulang setiap tahun selepas dilanda banjir kerana arus airnya sangat deras dari sebuah alur yang dikenali sebagai Alur Cikgu Ya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas ketua kampung di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) memberitahu, keputusan itu untuk membuang tar dibuat selepas penduduk mendapati keadaan jalan simen di bawah lapisan itu masih elok.

Katanya, jalan simen ber­kenaan dibina sejak 2017 lalu menggunakan peruntukan Ja­batan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan kerana itu penduduk merasakan jalan jenis itu lebih bersesuaian.

“Jika pihak kerajaan berhasrat membina jalan baharu, kami harap binalah jalan simen terutama di kawasan yang arus air banjir mengalir deras seperti di kampung ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Faizul memaklumkan, sudah dua tahun penduduk di situ mengalami kesukaran untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila bencana banjir melanda berikutan PPS Sekolah

Kebangsaan (SK) Bakong ditamatkan operasi.

“Setiap tahun kami perlu berpindah kerana kampung ini pasti dinaiki air. Sebab itu kami harap PPS SK Bakong dapat kembali beroperasi kerana PPS lain agak jauh dan menyukarkan mereka yang sakit termasuk warga emas dan ibu-ibu mengandung,” ujar­nya. -UTUSAN

The post Sebulan diturap, jalan rosak dihanyut bah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *