BANDUNG: Sebuah keluarga di Desa Kertaungaran di wilayah Sindang Agung di Jawa Barat, sudah bertahun-tahun hidup bersama seekor ular sawa sepanjang empat meter dan tidak takut menjadikan reptilia itu sebagai haiwan peliharaan mereka.

Ular seberat lebih 20 kilogram itu hidup bebas tanpa sangkar dan dibiarkan melingkar di sekitar rumah. 

Lapor Kompas.com, Miftah Fauzi, 24, telah memelihara lebih lima ekor ular sawa batik di rumahnya sejak beberapa tahun lalu.

Isteri Miftah, Elistia, 24, tidak pernah membantah hobi suaminya menternak ular malah turut menjaga ular itu sendiri semasa Fauzi bekerja di Tangerang. 

Menariknya, hobi memelihara ular turut dimiliki dua anak mereka, Rafasya Azka Fauzi, 3, dan Raisa Artalita Fauzia yang baru berusia satu tahun lima bulan. 

Elistia berkata, dua anaknya tidak pernah merasa takut dengan kehadiran lima ekor ular sawa di dalam rumah mereka sebaliknya menganggap haiwan itu sebagai rakan sepermainan. 

“Mereka sudah mengenali ular-ular ini sejak lahir. Ular sawa berusia empat tahun itu telah dipelihara Fauzi sejak berusia sebulan. Ini bermakna sebelum anak kami dilahirkan, sudah ada seekor ular sawa menghuni di rumah ini.

“Biasanya kedua-dua mereka tidur dengan ular. Ketika ular itu berada di sebelahnya atau di atas katil mereka tidak takut. Bila tengok ular pun tenang sahaja tidak pernah menjerit,” kata Elistia 

Miftah dan Elistia berkata, sehingga kini mereka sekeluarga tidak pernah dicederakan atau dibelit oleh ular-ular itu dan mereka percaya haiwan berkenaan  jinak kerana dilayan dengan baik sejak dari kecil.

The post Sekeluarga hidup dengan ular sawa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *