SAUDARA PENGARANG,

SISTEM pendidikan negara akhir-akhir ini kecoh dengan masalah pelajar. Isu beg berat dan jumlah mata pelajaran yang banyak antara diutarakan sama ada oleh ibu bapa, guru mahupun orang ramai.

Di sini, saya ingin menyentuh soal pendidikan sekolah rendah. Ini kerana di peringkat ini amat penting untuk memupuk minat murid menimba ilmu di sekolah.

Terdahulu Kementerian Pendidikan menegaskan, pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah muktamad meskipun ada desakan daripada ibu bapa dan sesetengah pihak yang mahukan peperiksaan itu dikembalikan.

Langkah tersebut juga demi memastikan fokus murid di peringkat sekolah rendah tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pula pernah berkata, keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19.

Peringkat sekolah rendah seharusnya mudah. Tiada tekanan besar kepada para pelajar tanpa peperiksaan UPSR walaupun ada buruk baiknya. Tumpuan utama di peringkat ini adalah untuk menjadikan proses pembelajaran lebih seronok.

Kembalilah ke pangkal jalan. Tumpuan harus menjurus kepada membaca, menulis dan mengira. Cukup sekadar murid-murid ini diperkenalkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Moral serta aktiviti kokurikulum.

Unsur-unsur lain seperti sastera, sains, sejarah, geografi , kesihatan dan lain-lain wajar menjadi bahan bacaan dalam bentuk petikan mudah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Murid akan terdedah dengan pelbagai ragam bahasa berbentuk sastera, sains dan teknologi. Semuanya perlu digabungkan dengan penggunaan bahasa yang betul.

Kemahiran membaca, kefahaman ejaan serta tatabahasa dititikberatkan dan diuji dalam proses pembelajaran.

Semua kemahiran ini akan menyediakan pelajar yang mahir membaca, mengira serta menulis di samping berakhlak dan cergas melalui persatuan dan juga sukan. -UTUSAN

MOHD. MUSTAFFA ABDUL MALIK
Klang, Selangor

The post Sekolah rendah sepatutnya menyeronokkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *