GEORGE TOWN: Pendapatan untuk sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang menyaksikan peningkatan memberangsangkan iaitu dari RM66 juta pada 2021 kepada RM285 juta tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah yang dicapai tahun lalu itu masih belum melepasi jumlah sebelum Covid-19 melanda, namun peningkatan semula pelancong perubatan ke negeri itu amat menggalakkan.

“Kita telah mencapai hampir 50 peratus daripada apa yang diperolehi pada 2019.

”Keadaan ini sangat positif untuk ekonomi negeri, ia juga sesuatu yang membanggakan kerana menunjukkan Pulau Pinang terus menjadi destinasi pelancongan pilihan termasuk pelancong perubatan,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow menyaksikan pelancaran video Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (P. MED) dan majlis menandatangani kerjasama Protokol Pelancongan Perubatan dengan PT Citilink Indonesia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin; Konsul Jeneral Republik Indonesia Bambang Suharto dan Ketua Pegawai Komersial dan Kargo Citilink Airlines, Ichwan F. Argus.

Kon Yeow berkata, menurut Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), dari 2015 hingga 2019 industri itu telah berkembang pada kadar pertumbuhan purata terkumpul sebanyak 17 peratus.

“Pada 2019, Pulau Pinang menerima hampir 480,000 pelancong perubatan dan menjana pendapatan sebanyak RM730 juta.

“Ini bermakna, hampir 50 peratus daripada jumlah pendapatan Malaysia adalah daripada pelancongan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Soon Hin berkata, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama dari segi pendapatan yang dijana untuk pelancongan perubatan di Malaysia.

”Indonesia sentiasa menjadi pasaran utama kami untuk pelancongan perubatan memandangkan persamaan bahasa dan budaya antara kita.

“Dalam tempoh 11 bulan pertama 2022, Pulau Pinang menerima kira-kira 144,975 pelancong perubatan antarabangsa yang mana Indonesia menyumbang sebanyak 54 peratus, diikuti Bangladesh dan India,” katanya. – UTUSAN

The post Sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *