SHAH ALAM: Pasukan Selangor FC mengambil langkah sulung menceburi sukan maya, e-sukan dengan julung kalinya menyertai Liga Profesional Mobile Legends (MPL) 2023.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Selangor FC, Simon Lim berkata, keputusan mewujudkan pasukan Yoodo Red Giants bertujuan menarik ramai peminat pasukan bolasepak Selangor FC menyokong lebih banyak aktiviti yang dijalankan pasukan berkenaan.

“Terdapat beberapa buah pasukan bolasepak profesional luar negara seperti Buriram FC (Thailand) dan beberapa pasukan lagi. 

“Kami tidak mahu terlalu terikat dengan aktiviti bolasepak sahaja kerana begitu banyak permainan dalam sukan e-sukan yang boleh diterokai,” katanya ditemui selepas majlis pengenalan pasukan Yodoo Red Giants di pusat latihan Selangor FC, semalam.

Turut hadir dalam pengenalan tersbeut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Selangor FC.

Dalam pada itu, Simon berkata, pengurusan Selangor FC akan memperuntukkan sekitar RM400,000 pada tahun ini bagi menguruskan pasukan Yodoo Red Giants, yang diwakili enam pemain dan seorang pengurus pasukan.

“Walaupun ini hanya sukan e-sukan, kami akan memberi latihan fizikal serta menyediakan makanan bernutrisi kepada pemain kerana kami mahu mereka menjalani kehidupan yang sihat.

“Untuk sasaran dalam MPL, sasaran untuk Yodoo Red Giants adalah cuma elak daripada tersingkir daripada liga tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

The post Selangor FC ceburi e-sukan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *