SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan 18 November depan sebagai cuti umum dan hari pelepasan sebagai persediaan mengundi di seluruh negeri ini.

  Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu berikutan Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai iaitu lebih 3.67 juta orang.

 “Terdapat jumlah besar warga Malaysia bekerja dan bermastautin di negeri ini, namun mengundi di kampung halaman di negeri lain. 

“Oleh demikian, Kerajaan Selangor memutuskan secara amnya memberi cuti umum sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu pada Jumaat minggu depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pentadbiran kerajaan Persekutuan turut diharap memberi pelepasan sama bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara pada 19 November nanti.

Dalam pada itu, kata Amirudin, kerajaan negeri berdukacita dengan insiden gangguan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya semalam.

“Bagi membantu ribuan pengguna yang terkesan, kita akan menyumbang 20 bas Smart Selangor kepada pengguna mulai esok bagi membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan LRT tersebut.

Tambah beliau, Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) akan memulakan usaha Selangor Vaccine Influenza–Pneumococcal dengan 10,000 dos vaksin secara percuma kepada golongan yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan peruntukan RM1.5 juta bermula 14 November hingga 31 Disember depan.

“Ia memfokuskan kepada pusat jagaan orang tua, warga emas dan pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS),” katanya. – UTUSAN

The post Selangor isytihar cuti umum 18 November appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *