PETALING JAYA: Pertembu­ngan Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Bukit Jalil malam ini ibarat ‘Liverpool bertemu Manchester City’, kata bekas pengendali Selangor, B. Sathianathan.

Sathianathan yang kini mem­bimbing Sarawak Uni­ted berkata, perbandingan itu dibuat kerana kedua-dua pasukan memiliki persamaan ­dengan dua gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut.

“Persamaan yang saya maksudkan ialah Selangor ibarat raja lama (old king) dan JDT pula raja baharu (new king), begitu juga perihalnya dengan Liverpool dan City.

“Kalau dulu, Liverpool dan Manchester United kelab yang sangat popular tetapi sekarang City sudah mula menarik minat generasi muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai peluang kedua-dua pasukan menjulang Piala Malaysia, Sathianathan mengakui, jika bercakap secara realistik, kelebihan terletak di tangan JDT.

Harimau Selatan memiliki kekuatan dari segenap segi, malah JDT sudah tentu enggan berputih mata buat kali kedua berturut-turut selepas dikecewakan oleh Kuala Lumpur City 2-0 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, Se­langor juga mampu melakar kejutan kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil.

“Saya hendak ucap tahniah kepada Tan Cheng Hoe yang membawa Selangor sehingga ke final, di bawah terajunya, banyak telah berubah, pasukan merah kuning semakin mempamer peningkatan,” ujarnya.

Sathianathan juga meminta anak-anak buah Cheng Hoe berwaspada dengan JDT yang sentiasa bersemangat tinggi setiap kali berdepan Selangor.

“Sejak dulu lagi, JDT kalau jumpa Selangor, semangat mereka lain macam. Seperti ada sentimen yang mana pasukan itu membawa misi wajib menang,” katanya.

The post Selangor-JDT ibarat Liverpool lawan Man. City – Sathianathan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *