SHAH ALAM: Asia Tenggara masih disifatkan sebagai rantau yang masih mempunyai kelebihan ekonomi meskipun berdepan tekanan perang dagangan antara Amerika Syarikat dengan China serta krisis antara Ukraine dan Rusia.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, kelebihan geografi itu menjadikan Selangor optimis untuk meningkatkan jumlah pelaburan antarabangsa dalam negeri pada tahun ini.

“Kita melihat juga, disebabkan Covid-19 dan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat, Asia Tenggara khususnya merupakan tumpuan kepada pelabur-pelabur sama ada dari Timur ataupun barat, ke kawasan ini untuk menjadikan rantau ini sebagai satu transit.

“Jadi kita gunakan peluang ini sebaik-baiknya bagi menarik seberapa pelaburan yang mungkin,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 yang dianjurkan pada 28 Januari ini.

Beliau menambah, kerajaan negeri optimis untuk meningkatkan pendapatan melalui pelbagai rancangan selepas berjaya memperoleh RM2.5 bilion bagi hasil negeri pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini memaklumkan Selangor berjaya peroleh pelaburan sebanyak RM60 juta dalam tempoh tujuh hari pertama pada 2023 dan kekal meletakkan sasaran lebih RM2 billion hasil negeri untuk tahun ini.

Dalam pada itu, Chang Khim mengunjurkan Selangor berdaya tahan untuk mendepani cabaran ekonomi yang dijangkakan menghadapi kelembapan ekoran tekanan pasca Covid-19 serta krisis antarabangsa di Eropah.

Menurutnya, Rancangan Selangor Pertama (RS1) yang diumumkan Menteri Besar pada tahun lalu mempunyai kemampuan untuk memandu ekonomi negeri ke arah kemapanan dalam tempoh lima dan 10 tahun.

“Tahun ini kalau mengikut laporan daripada pakar-pakar ekonomi adalah paling mencabar, mereka menggunakan istilah ‘musim sejuk’ atau winter. Tetapi, ada juga pandangan lain mengatakan ini adalah fake winter, bukan yang betul.

“Yang penting adalah kita mempunyai rancangan, walaupun kita menjangkakan ada cabaran-cabaran tertentu, tetapi ada projek-projek tertentu untuk kita usahakan, kita sudah sediakan pakej insentif untuk menarik pelaburan.

“Kita menjangkakan melihat hasil selepas lima tahun dan mencapai kejayaan pada tahun ke-10, sebab itu kita menetapkan sasaran umpamanya Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2023, kita harap dengan RS1 dapat sumbang kepada KDNK kebangsaan pada tahap 30 peratus berbanding 24.8 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

The post Selangor kekal optimis kelebihan ekonomi Asia Tenggara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *