TOKYO: Selepas China, Jepun juga mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19, menyebabkan pihak berkuasa Tokyo mengeluarkan amaran penularan koronavirus ke tahap kedua tertinggi, iaitu pada skala empat.

Lapor agensi berita Xinhua, amaran itu ditetapkan pada tahap kedua tertinggi buat kali pertama sejak 6 Oktober lalu.

Pada mesyuarat pemantauan jangkitan Covid-19 yang berlangsung kelmarin, seorang pakar memberi amaran bahawa Tokyo ‘boleh dianggap memasuki gelombang jangkitan kelapan’.

Sehingga Khamis, purata kes baharu Covid-19 dalam tempoh tujuh hari di ibu negara adalah seramai 8,276 mangsa, meningkat 24.7 peratus daripada seminggu sebelumnya.

Kes harian pula melebihi had 10,000 dua hari sebelumnya, paras tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Berdasarkan anggaran yang dibentangkan pada mesyuarat itu, dalam tempoh purata tujuh hari angka akan mencecah sekitar 12,300 kes menjelang akhir bulan ini jika jangkitan baharu meningkat pada kadar semasa.

Kemunculan semula virus itu berlaku selepas kerajaan Jepun menarik balik sekatan ke atas penumpang individu, perjalanan spontan dan had kemasukan harian bulan lalu.

Ia turut melancarkan program Diskaun Perjalanan Nasional, yang memberikan subsidi sehingga 11,000 yen (RM360) seorang yang melawat untuk tempoh maksimum tujuh malam.

Ketika Covid-19 dan influenza merebak secara serentak, kerajaan metropolitan berjanji pada mesyuarat itu untuk mempromosi keupayaan perubatan di ibu kota yang mampu merawat sehingga 127,000 pesakit luar yang mengalami demam setiap hari.

The post Selepas China, Tokyo pula rekod peningkatan kes Covid-19 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *