TAPAH: Bangkai helikopter jenis Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus berhampiran Kampung Kenangan, Bidor bulan lalu, dibawa keluar dari lokasi nahas semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kerja-kerja mengalihkan bangkai helikopter itu bermula pukul 12 tengah hari menggunakan jengkaut.

Katanya, operasi itu dilakukan syarikat pengendali helikopter, Hammock Helicopter Sdn. Bhd.

“Helikopter dibawa keluar dari kawasan nahas untuk diletakkan di hangar syarikat itu di Subang bagi siasatan lanjut oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 September lalu, sebuah helikopter milik syarikat swasta dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada pukul 12.16 tengah hari.

Helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera diatur gerak sebelum helikopter berkenaan dijumpai kurang 24 jam selepas dilaporkan hilang daripada radar.Mayat juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, yang merupakan warganegara Hong Kong ditemukan di bahagian kokpit helikopter di dalam hutan simpan tersebut. – UTUSAN

The post Selepas sebulan, bangkai helikopter dibawa keluar dari lokasi nahas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *