BUKIT MERTAJAM: Sewa lori tangki semata-mata untuk menyeleweng diesel dengan meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.

Itu modus operandi yang berjaya dikesan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang susulan serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan itu dilakukan hasil pemantauan dan pemeriksaan harian yang dijalankan sebelum ini.

Terdahulu kata beliau, empat pegawai penguat kuasa KPDN negeri menjejaki sebuah lori tangki berwarna putih 6.5 tan tanpa muatan yang mencurigakan sedang mengisi diesel.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati, lori itu mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 10,800 liter di bahagian belakang dan satu unit tangki berkapasiti 800 liter di sebelah tepi yang digunakan untuk mengisi diesel dari stesen-stesen minyak.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 1,800 liter diesel di kedua-dua tangki berkenaan.

“Pada masa sama, pemandu dan kelindan lori terbabit yang masing-masing berusia sekitar 20-an dan 30-an turut ditahan dan mereka mengesahkan menyewa lori tangki itu bagi tujuan penyelewengan (diesel) sejak dua bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jegan berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan itu termasuk lori tangki, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit, walkie-talkie serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM35,719.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Ketika ini, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti jika terdapat anggota sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan ini (penyelewengan diesel),” katanya yang menambah, kedua-dua tangkapan kini turut direman untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Jegan mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi seperti diesel yang mana mereka akan dikenakan tindakan tegas selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti tersebut daripada orang awam. – UTUSAN

The post Seleweng diesel guna lori tangki sewa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *