SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyasarkan nilai padanan perniagaan halal sebanyak RM50 juta di samping 8,000 kehadiran pengunjung pada Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Mac hadapan.

Sasaran tersebut adalah lebih tinggi berbanding dicapai pada Selhac 2022 yang mencapai nilai padanan sebanyak RM38 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sesi padanan perniagaan halal diteruskan  bagi membangunkan rangkaian perniagaan di antara syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa dalam sektor halal.

“Melalui sesi rangkaian dan padanan perniagaan bersama pemain tempatan dan pemain besar antarabangsa, jumlah nilai padanan perniagaan pada Selhac 2022 mencapai RM38 juta. Ini suatu pencapaian yang patut dibanggakan pada penganjuran buat julung kalinya. 

“Bagi pemain industri Halal, ini membuka kesempatan bagi meneroka peluang perniagaan dan juga kolaborasi di antara pemain industri tempatan dan antarabangsa dalam memartabatkan dan mengukuhkan industri Halal di persada dunia”, katanya selepas melancarkan Selhac 2023, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, Selhac 2023 juga memberi tumpuan kepada kewangan Islam, untuk membolehkan pendedahan yang lebih tinggi kepada sektor ini sebagai alternatif kepada perbankan konvensional, insurans, pasaran modal dan pelaburan.

“Salah satu kekangan utama kepada pertumbuhan kewangan Islam adalah kurangnya kesedaran di dalam komuniti kepada alternatif yang tersedia dalam perbankan, insurans, pasaran modal dan pelaburan. 

“Forum Kewangan Islam juga akan mendalami kepentingan kewangan patuh shariah dengan penglibatan dari beberapa agensi dan institusi yang menawarkan perbankan Islam, Ar Rahnu dan Takaful,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan, Selhac 2023 akan berlangsung pada 10 hingga 12 Mac dengan tema ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’. – UTUSAN

The post Selhac 2023 sasar nilai padanan RM50 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *