PETALING JAYA: Pentas akhir Piala Malaysia kali ini memberi 1,001 makna buat kapten Selangor, Brendan Gan selepas dua kali berjaya pulih daripada kecederaan ligamen.

Pertengahan tahun ini pemain kelahiran Australia ini sekali lagi membuktikan dirinya berjiwa besar apabila kembali ke lapangan selepas setahun berjuang melawan kanser.

“Walaupun pasukan ini adalah skuad muda, kami menunjukkan kematangan dan perkara bagus yang kami lakukan adalah mempamerkan karakter. Tidak banyak pasukan yang mampu melakukan perkara ini.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang berjuang hingga bawa pasukan ke final Begitu juga untuk diri saya secara peribadinya. Ia perasaan yang hebat dan saya mahu menikmati detik ini bersama rakan sepasukan,” ujarnya.

Membantu Kelantan naib juara pada 2013, lima tahun kemudian menjadi detik hebat buat Brendan yang bantu Perak memenangi piala berprestij ini menewaskan Terengganu 4-1 pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam tempoh 120 minit.

Kini peranan tersebut kembali lagi bersama Selangor untuk berdepan juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menyedari tentangan sengit bakal ditempuhi, Brendan Gan yakin dengan kemahuan rakan sepasukannya serta menagih sokongan daripada penyokong setia Merah Kuning.

“Segalanya tentang keyakinan walaupun kami adalah pasukan muda. Paling penting kami kena bersedia untuk hadapi perlawanan besar ini.

“Saya juga harap penyokong dapat hadir ke Bukit Jalil untuk menjadi tulang belakang kepada pasukan,” katanya.

Selangor mara ke final selepas menyingkirkan Terengganu di separuh akhir menerusi kejayaan 3-2 secara agregat.

Kali terakhir Red Giants meraih gelaran Piala Malaysia adalah pada 2015 yang merupakan gelaran ke-33. – UTUSAN

The post Semangat pejuang resapi Brendan Gan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *