PETALING JAYA: Selepas sembilan kali gagal menjinakkan Terengganu FC, tiga gol yang berpunca daripada tandukan membantu Selangor melakar kemenangan pertama ke atas Sang Penyu dalam tempoh tiga tahun pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem Zulpakar membantu Gergasi Merah menang 3-1, sekali gus membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Kuala Terengganu pada aksi timbal balik, Isnin depan.

Ini kemenangan pertama Selangor ke atas Terengganu sejak mengalahkan pasukan itu 1-0 di laman sendiri pada 29 Mac, 2019.

Kemenangan ini juga memastikan Reds Giants mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe yang mengambil alih pasukan, September lalu.

KAPTEN Selangor, Brendan Seng Ling Gan (tengah) menanduk bola ketika menentang Terengganu FC malam ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Turun dengan kesebelasan terbaik, Selangor FC berjaya memberi tekanan sepanjang 10 minit pertama dengan pelawat lebih banyak berkampung dikawasan sendiri.

Gandingan ketua pasukan, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal dan Hein Htet Aung mengawal bahagian tengah dilihat begitu berkesan buat Selangor menerusi hantaran pendek yang sempurna.

Pelawat yang dibimbing Nafuzi Zain mula mendapat rentak selepas 15 minit dengan beberapa serangan yang digerakkan menerusi Kpah Sherman, Tchetche Kipre serta Faisal Halim.

Serangan balas dijelmakan Terengganu FC menerusi  Faisal Halim membawa kepada kekasaran dilakukan pemain Selangor, Mukhairi  ke atas Faisal di depan kotak penalti dengan pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin memberikan Terengganu diberikan sepakan percuma.

Kipre yang ditugaskan mengambil sepakan bijak memastikan bola rembatannya melepasi benteng yang dibina Selangor sebelum bola menerjah masuk gawang untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid pada minit ke-19.

 

PEMAIN Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi (kiri) cuba merampas bola daripada pemain sayap Terengganu, Faisal Halim di Petaling Jaya malam ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Gol tersebut nyata mengejutkan tuan rumah yang kembali memperkemaskan corak permainan dan mengatur gerakan memburu gol penyamaan.

Ankrah memastikan kedudukan kembali seimbang selepas tandukannya yang berpunca dari sepakan penjuru berjaya menewaskan benteng terakhir Terengganu, Suhaimi Husin untuk gol penyamaan pada minit ke-37.

Berselang enam minit kemudian, gol pelawat sekali lagi bocor dan kali ini hasil tandukan penyerang import tuan rumah, Caion untuk memastikan Selangor mendahului  2-1 pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor hanya memerlukan sembilan minit untuk memperolehi gol ketiga menerusi tandukan Shahrul Nazeem.

Gol tersebut terus memberikan keyakinan buat barisan pemain Gergasi Merah yang terus mengawal dan memberikan tekanan buat pelawat.

Pelawat memiliki beberapa peluang untuk merapatkan jurang gol menerusi Kipre pada minit ke-66, namun tandukannya sedikit tersasar untuk melegakan kira-kira 14,000 penyokong tuan rumah.

Tuan rumah hampir memperolehi gol keempat pada minit ke-71, namun ketangkasan Suhaimi yang menafikan gerakan Caion dan Htet Aung memastikan gawang tidak dibocori.

Tuah nyata tidak memihak Kpah Sherman apabila tolakannya di hujung masa perlawanan terkena palang gol ketika Khairulazhan sudah pun tertewas.

Walaupun cuba memberikan asakan di penghujung perlawanan, keputusan 3-1 itu kekal sehingga tamat masa perlawanan dengan kemenangan memihak Selangor. –UTUSAN ONLINE

The post Sembilan kali gagal, Selangor akhirnya tumpaskan Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *