MOGADISHU: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas dua bom meletup dalam kejadian berasingan di sebuah bandar di tengah Somalia.

Pegawai keselamatan tempatan, Abdullahi Adan berkata, sekumpulan militan menyerang bandar Mahas dengan membawa kenderaan penuh dengan muatan bahan letupan.

“Mereka menyasarkan kawasan awam dan seramai sembilan penduduk maut dalam dua letupan itu,” katanya.

Letupan itu berlaku di wilayah Hiran, tengah Somalia yang mana serangan besar dilancarkan pada tahun lalu terhadap kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Komander polis di Mahas, Osman Nur berkata, kumpulan militan membunuh orang awam dalam serangan tersebut.

Sementara itu, beberapa saksi mendakwa satu lagi letupan berlaku berhampiran sebuah restoran yang tidak jauh dari bangunan pentadbiran daerah di Mahas.

“Saya melihat mayat orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Ini adalah serangan yang mengerikan,” kata seorang saksi bernama Adan Hassan. – AFP

The post Sembilan maut serangan bom kereta di Somalia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *