SEPANG: Keputusan PKR dalam menetapkan calon dan menggugurkan beberapa penyandang ahli Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibuat melalui proses dan saringan teliti.

Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan calon itu melalui proses ketat bermula cadangan akar umbi, tawaran individu, sistem mesyuarat dan akhirnya diputuskan pucuk pimpinan.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, calon yang dipilih itu juga mematuhi parameter ditetapkan parti iaitu calon boleh menang (winnable).

“Parti juga perlu melakukan proses rejuvenasi dalam pemilihan calon supaya keadaan lebih menarik dan segar dapat dihasilkan.

“Kita bukan sebuah parti reform (pembaharuan), malah kita tak mahu pihak menongkat langit dari dulu sampai sekarang di satu-satu tempat kecuali beberapa individu penting seperti Presiden parti,” katanya dalam sidang akhbar sempena Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang, di sini hari ini.

Semalam, PKR mengumumkan 72 calon bagi menghadapi PRU15 termasuk menggugurkan lapan penyandang Ahli Parlimen.

Lapan penyandang berkenaan ialah Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Lee Boon Chye (Gopeng), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).

Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dan kecewa segelintir pihak termasuk bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyifatkan pemilihan calon PKR bagi PRU15 seperti ‘bermain terup’.

Ditanya sama ada perkara itu bakal mengundang kegusaran dalam kalangan ahli parti dan mungkin berdepan kehilangan undi, Amirudin berkata, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh dan kerangka lebih besar demi memastikan parti bergerak ke hadapan.

“Pada 2008, saya adalah calon baharu dan baru berusia 28 tahun. Kalau kita fikir takut hilang undi, kita tidak mungkin dapat mencipta sejarah dan memastikan kemenangan dua pertiga serta merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan penyandang-penyandang ahli Parlimen berkenaan akan bertanding bebas pada PRU15, Amirudin berkata, beliau percaya mereka ini sangat mahir dalam politik, namun ini adalah negara demokrasi dan mereka ada hak untuk dicalonkan dan mencalonkan.

“Namun, jika lihat pada rekod, jika mereka bertanding bebas dan tidak bersama parti maka, mereka akan berdepan cabaran yang sangat menyakitkan dan sukar,” katanya.

Mengulas dirinya yang dicalonkan bagi kerusi Parlimen Gombak, Amirudin berkata, keputusan itu dibuat oleh parti dan beliau bersedia untuk memastikan Gombak kekal di bawah PH dan PKR. – UTUSAN

The post Semua calon PKR ‘boleh menang’ – Amirudin Shaari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *