TURIN: Ketika Piala Dunia 2022 sedang rancak berlangsung di Qatar, keadaan di Juventus pula ‘huru-hara’ apabila seluruh ahli lembaga pengarah (BOD) gergasi bola sepak Itali itu meletak jawatan secara mengejut, termasuk Presiden, Andrea Agnelli dan Naib Presiden, Pavel Nedved.

Keputusan sebulat suara oleh lembaga pengarah untuk meletak jawatan secara beramai-ramai diambil ekoran keadaan kewangan kelab yang tidak stabil.

Pengarah Urusan, Maurizio Arrivabene akan terus menguruskan pentadbiran meskipun turut meletak jawatan sehingga pasukan baharu dibentuk.

Juventus yang menduduki tangga ketiga Serie A ketika ini mencatat kerugian 220 juta pound (RM1.2 bilion) sepanjang musim 2021-2022, satu rekod baharu di Itali.

November lalu, Juventus berkata, mereka akan bekerjasama dengan polis selepas siasatan dilancarkan terhadap perpindahan pemain kerana terdapat dakwaan berlaku proses meragukan dalam urusan jual beli pemain.

Agnelli dan Nedved antara yang disiasat.

Dalam surat yang diutuskan kepada semua kakitangan kelab sebelum peletakan jawatannya, Agnelli mengimbau tentang keputusan ‘luar biasa’ yang pernah diraih bersama Juventus.

Antaranya membina Stadium Allianz, merangkul sembilan kejuaraan Serie A berturut-turut bagi pasukan lelaki dan lima gelaran berturut-turut bagi skuad wanita.

“Kami sedang menghadapi saat sukar, dengan imej buruk di mata masyarakat.

“Lebih baik semua orang keluar secara serentak bagi memberi peluang kepada pasukan baharu ‘menukar’ permainan,” tulisnya.

Katanya, situasi sekarang mampu menghancurkan pasukan kerana musuh ­hanya mahu menjatuhkan mereka ketika dalam keadaan lemah.

“Apabila pasukan tidak kuat, itu akan menyebabkan lawan mudah menceroboh masuk dan membawa maut kepada orang di dalamnya,” ujarnya yang dilantik sebagai Presiden Old Lady sejak 12 tahun lalu. – AGENSI

The post Semua lembaga pengarah tinggalkan Juventus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *