KANGAR: Senarai barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis akan dimuktamadkan dalam masa terdekat berikutan masih terdapat sedikit perubahan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, secara dasarnya senarai itu telah dilengkapkan namun masih menunggu maklum balas daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

Katanya, semua senarai nama barisan exco kerajaan negeri itu telah dihantar ke peringkat pusat semalam untuk penilaian sebaiknya.

“Sudah ada (senarai barisan Exco) pada dasarnya, cuma mungkin ada sikit-sikit perubahan. Tunggu lampu hijau dari PN Pusat,” katanya ketika ditemui sebelum sesi pembentangan mengenai pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shukri hadir ke pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks DUN negeri, bagi memulakan tugasnya secara rasmi tepat pada pukul 8.54 pagi.

Kehadiran beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Sektor Pengurusan), Dr. Faizal Kamarudin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya.

Sebelum memasuki pejabat, Mohd. Shukri mengimbas cap jari pada alat perakam waktu sebagai simbolik bagi memulakan tugasannya. 

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya akan mendengar taklimat terlebih dahulu daripada kepemimpinan kanan kerajaan negeri sebelum membuat perancangan seterusnya.

“Setiausaha kerajaan negeri akan memberi taklimat tentang perkembangan terkini dan selepas itu baru kita boleh rancang untuk bermula di mana,” katanya.

Tambah Mohd. Shukri, beliau juga masih belum membuat keputusan setakat ini sama ada ingin menetap di kediaman rasmi Menteri Besar atau sebaliknya.

“Saya kalau boleh nak menetap di rumah sendiri dan kediaman rasmi itu mungkin kadang-kadang sahaja,” katanya. – UTUSAN

The post Senarai Exco Kerajaan Negeri Perlis dimuktamadkan dalam masa terdekat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *