MUKADIMAH
RAMAI yang memandang seni sebagai sesuatu yang remeh. Ia dianggap hanya sebagai hiburan dan bukan satu industri. Pada masa sama, berkarya dalam pelbagai bidang dalam seni dianggap tidak memerlukan kepakaran. Bakat boleh diasah. Baru-baru ini wartawan MINGGUAN MALAYSIA, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ISMAIL AHMED yang bercerita tentang seni secara lebih luas dan global.

Tidak semua manusia dianugerahkan Allah SWT dengan bakat. Bakat untuk berkarya dengan akal dan budi yang sempurna. Jika mengambil contoh bidang seni sama ada teater, muzik, lukisan, dan bermacam disiplin lagi, adakah sesiapa sahaja boleh berkarya misalnya jika tanpa bakat?
Seni merupakan keupayaan luar biasa yang dianugerahkan Allah kepada manusia pilihan-Nya. Memiliki bakat adalah satu magis ciptaan Allah seperti yang difirmankan dalam surah al- Baqarah (2;269) berkaitan hikma’ dan jika pengkarya seni memanfaatkan secara optimum mampu menyumbang banyak perkara positif dan secara relatifnya mendekatkan hamba dan Penciptanya.
Seseorang yang lahir dengan bakat atau magis seni berupaya menghasilkan karya yang indah tidak kira apa jua disiplin bidangnya sama ada seni persembahan, seni lukisan, seni tampak, seni tenunan, seni ukiran dan sebagainya. Bakat yang dianugerahkan perlu digilap potensinya melalui ilmu-ilmu seni sama ada di universiti mahupun melalui pengalaman yang daripada tokoh-tokoh bidang seni yang ada di persekitarannya.

Muzik sering dikaitkan dengan keseimbangan dan merangsang otak manusia. Bagaimana seni membantu meningkatkan intelektualiti?
Sama ada di dunia Barat mahupun Timur, hubungan muzik dengan para pemikir atau ahli falsafah, pakar matematik dan pakar perubatan mempunyai kaitan yang rapat dalam membantu meningkatkan tahap intelektualiti manusia. Masyarakat Barat telah lama mengetahui akan kelebihan seni dalam meningkatkan kebijaksanaan manusia. Melalui siri kajian diadakan, membuktikan muzik melalui wave atau gelombang mampu merangsang otak manusia dan mengimbangi tenaga kreatif dan kritis.
Nama-nama genius dunia seperti Leonardo Da Vinci, Albert Einstein, Thomas Jefferson adalah sebahagian daripada genius yang mendapat ‘magic’ daripada gelombang bunyi. Leonardo Da Vinci telah diletakkan oleh Tony Buzan dan Raymond Keene di tempat pertama sebagai manusia paling genius dalam kalangan sembilan genius Barat seperti Albert Einstein, Phidias (the architect of Athens), Alexander the Great, Thomas Jefferson, Sir Isaac Newton, Michelangelo, Johann Wolfgang van Goethe, The Great Pyramids Builders dan William Shakespeare, di dalam buku In The Book of Genius (Michael J. Gelb, 2004).
Pengasas Microsoft, Bill Gates mempunyai apa yang dipanggil Inhouse Orchestra di Microsoft. Inhouse Orchestra ini menghimpunkan semua staf serta pasangan malah kontraktor pembekal untuk turut sama bermain muzik. Mengapa syarikat IT mega seperti Microsoft melihat seni muzik sangat penting?
Tidak hanya di Barat, dalam konteks worldview Arab, Seyyed Hossien Nasr (1983) menjelaskan bahawa al-Farabi, Ibnu Sina dan Urmawi adalah genius terkenal yang dikaitkan dengan teori muzik; many of the outstanding Islamic men of learning, especially philosophers, mathematicians, and physicians, were well-versed in music and its theories and some like al-Farabi, Ibn Sina and Urmawi were notable authorities in musical theory.
Sama ada di dunia Barat mahupun Timur, hubungan muzik dengan para pemikir, ahli falsafah, ahli matematik dan ahli sains mempunyai kaitan rapat dalam membantu meningkatkan intelektualiti. Tentunya dengan pendekatan tepat dan relevan dengan masa kini kita dapat mencapai tahap yang sebegini.

Kebaikan seni muzik dan bidang seni lain bukan sahaja telah dibuat kajian kaitannya dengan sains malah dalam aspek sosial manusia. Bagaimana ini boleh dijelaskan?
Saya hendak kongsi penulisan John Medina (Brain Rules, 2014) mengenai satu program latihan kemahiran berbahasa. Hasil kajian ke atas sekumpulan kanak-kanak berusia 10 tahun yang bermain alat muzik selama 3 tahun menunjukkan peningkatan dalam perbendaharaan kata dan kemahiran penaakulan non-verbal berbanding kanak-kanak yang tidak bermain muzik yang mengikuti program itu. Beliau menambah kanak-kanak yang mengikuti pelajaran muzik sebelum berumur 7 tahun menunjukkan superior sensory motor integration yang unggul apabila mereka menginjak dewasa.
Saya berpandangan muzik dan seni sentiasa akan menjadi komponen penting dalam pembangunan sosial. Sudah tiba saatnya Malaysia perlu memperkenalkan modul-modul seni yang lebih terkini dan komprehensif. Jangan terlalu memfokus kepada seni yang sekadar hiburan yang akhirnya memimpin emosi dan akal fikir bercelaru dalam kalangan remaja dan masyarakat. Jika kita mahu melihat generasi baharu yang akan memimpin negara mempunyai empati dan peka dengan ekosistem dan masalah masyarakat, maka persoalan sumbangan seni kepada pembangunan sosial ini dapat ditangani dengan berkesan.

Kita sering mendengar tentang muzik terapi yang mententeramkan emosi dan jiwa manusia. Adakah ini berkaitan muzik terapi?
Soalan ini sangat menarik kerana di Malaysia terapi seni agak kurang popular dan mendapat perhatian. Sebenarnya, sejarah Islam telah membuktikan bahawa muzik dan segala jenis peralatan banyak dihasilkan oleh ilmuwan Islam untuk mengubati mereka yang mengidap penyakit kejiwaan dan emosi seperti penyakit sukar tidur dan juga penyakit yang berhubung dengan unsound mind (Mohd Yusof Hj. Othman, 2014).
Kitab al-siyassiah (The Book of Government) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Yuhanna ibn Batriq’s (815 sebelum Masihi) mengatakan alunan muzik berupaya mengubat penyakit mental melalui hubungan getaran dan bunyi harmoni dengan jiwa manusia.
Terapi seni dalam muzik Arab melalui maqam-maqam sangat menarik. Raja Zulkarnain (2013) dalam bukunya mengatakan Muhammad Shihab al-Din, penulis abad ke-19 telah menulis bahawa oud mempunyai fungsi sintesis. Al-Farabi dikatakan pernah membentangkan prinsip dan falsafah tentang muzik dan kualiti kosmik. Antara risalah al-Farabi termasuklah cara menangani terapi jiwa menggunakan alunan muzik atau kesan terapeutik. Jika kita baca buku-buku terapi seni, tidak hanya dunia Islam malah Barat juga telah lama mempraktikkan keupayaan seni dalam pengubatan jiwa atau terapi seni. Pada zaman Greek, modes yang kita kenali sebagai modern western scales hari ini mempunyai fungsi pengubatan dalam komuniti.

Aktiviti seni budaya amat terkesan dengan perubahan lanskap akibat Covid-19 dan lain-lain cabaran, pandangan untuk penggiat seni bangkit semula?
Kemampuan berteknologi hari ini bukan lagi tentang komuniti bijak pandai sahaja tetapi ia menjalar ke dalam semua lingkungan kehidupan manusia. Sama ada bersedia atau tidak, kita tiada pilihan. Bertitik dari kaedah penggunaan aplikasi untuk membeli makanan, barangan pejabat, elektronik dan lain-lain keperluan kehidupan, kita sebenarnya telah memulakan satu budaya yang membentuk lingkungan industri, misalnya penghantaran secara atas talian yang ketika dahulu amat asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia.
Penggiat seni perlu mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu baharu dalam akses kepada maklumat industri seni yang kontemporari, mewujudkan platform baharu dalam berkarya, multi skills, home production serta menyesuaikan diri dengan melahirkan idea dan konsep kreatif berinovasi bagi memenuhi selera masyarakat yang semakin dinamik. Percayalah, great idea can shape our community and role for the next decade. Untuk itu, bersedialah dengan ilmu baharu dan menghasilkan karya yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia. – Mingguan Malaysia

The post Seni, intelektualiti dan masa depan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *