BAITULMUQADDIS: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam dua kejadian letupan berasingan yang menggegarkan bandar Baitulmuqaddis.

Lapor Al Jazeera, polis Israel mendakwa kejadian yang berlaku pada pagi tadi disyaki sebagai serangan dilakukan oleh Palestin.

Menurut pegawai Palestin, letupan itu berlaku beberapa jam selepas seorang remaja berusia 16 tahun dibunuh oleh tentera Israel di bandar Nablus, Tebing Barat.

Letupan pertama berlaku sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) di sebuah stesen bas di sepanjang lebuh raya di pintu masuk barat ke Baitulmuqaddis yang sesak dengan penduduk.

Berdasarkan pakar perubatan, sekurang-kurangnya 12 orang cedera termasuk dua parah dalam letupan pertama.

Letupan kedua pula berlaku sejurus kemudian di persimpangan Ramot di utara Baitulmuqaddis.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira tiga orang mengalami kecederaan ringan disebabkan kesan dari letupan tersebut.

Polis Israel percaya insiden pertama berpunca daripada `bahan letupan diletakkan dalam basikal yang ditinggalkan di stesen bas’.

Susulan dua insiden letupan itu, tentera Israel mengumumkan penutupan dua pusat pemeriksaan utama di kawasan Jenin iaitu pusat pemeriksaan Jalameh dan Salem.

Serbuan dan serangan tentera Israel sehingga mengakibatkan penduduk Palestin terbunuh di Tebing Barat semakin meningkat sepanjang tempoh kebelakangan ini, selari dengan peningkatan kes serangan peneroka haram terhadap warga Palestin.

Sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin termasuk lebih 50 kanak-kanak terbunuh akibat serangan tentera Israel di Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak 2006.

Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh di wilayah Israel. – AGENSI/AFP

The post Seorang maut, 15 cedera dalam dua letupan di Baitulmuqaddis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *