LUMUT: Seorang maut manakala tiga cedera dengan dua daripadanya parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam parit dekat Kampung New Colombia, Ayer Tawar dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Iswara itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tiga rakannya dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan.

Difahamkan, semua mangsa lelaki berusia 20-an dan 40-an adalah warganegara Indonesia yang dalam perjalanan dari arah Sitiawan menuju ke Beruas.

Kemalangan itu menyebabkan kereta tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, bumbung dan cermin hadapan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.22 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, didapati sebuah kereta telah terbabas ke dalam parit dan seorang disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak perubatan manakala tiga lagi cedera.

“Anggota melakukan kerja penyelamatan menggunakan peralatan Res-Q dan pengusung dengan mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar menaiki ambulan ke HSM,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau menjelaskan operasi yang diketuai Pemangku Penyelia BBP Ayer Tawar, Shahril Che Halim itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.15 pagi. – UTUSAN

The post Seorang maut, tiga cedera kereta terbabas masuk parit appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *