DOHA: Sepanyol laung amaran awal untuk menjadi juara bagi edisi Piala Dunia kali ini apabila membelasah pasukan Costa Rico dengan keputusan 7-0 dalam aksi Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Anak buah Luis Enrique memulakan malam gemilang mereka di Doha menerusi Dani Olmo sejak minit ke 11.

Berselang 10 minit kemudian, Marco Asensio pula melebarkan jurang menjadi 2-0 buat Sepanyol untuk menewaskan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.

Ferran Torres memastikan Sepanyol menutup babak pertama dengan kedudukan lebih selesa apabila meledak gol ketiga pada minit ke 31 menerusi sepakan penalti.

Bersambung babak kedua, derita Costa Rico masih belum berakhir apabila Torres sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring untuk gol kedua peribadinya pada minit ke 54.

Gavi kemudian memastikan pasukannya semakin selesa apabila menjaringkan gol pada minit ke 74.

Menuju ke penghujung perlawanan, Sepanyol masih belum sedia mengendurkan asakan, dan meledak dua lagi gol, masing masing menerusi Carlos Soler dan Alvaro Morata untuk kedudukan muktamad, 7-0 memihak kepada Sepanyol.

Keputusan ini meletakkan Sepanyol menerajui kumpulan E dengan kelebihan gol, diikuti Jepun yang menewaskan Jerman dalam satu lagi perlawanan sebentar tadi.

The post Sepanyol berpesta benam Costa Rica 7-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *