KUALA LUMPUR : Penyanyi, Lah Ahmad sentiasa menyokong usaha kumpulan V.E yang berjuang saban minggu di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan, meskipun sudah tidak lagi bersama mereka.

Menganggap usaha mereka wajar dipuji dan disokong, Lah bagaimanapun, tidak pasti mengapa bekas anggota kumpulan itu, Damian Mikhail, kerap melontarkan kritikan terhadap sahabatnya.

“Tiada siapa yang boleh halang dia memberikan pendapat. Tetapi, biarlah melontarkan pandangan yang membina. Dalam industri, kita perlukan sokongan dan doa untuk teman seangkatan.

“Saya kalau ada kawan keluar album, saya akan ucap tahniah. Malah, bila nampak Adeep menyanyi dengan baik pada minggu kedua GV9, saya ucapkan tahniah.

“Tidak perlulah komen menghentam kerana nanti orang akan ungkit apa yang kita tidak puas hati. Disebabkan itu, kita jangan buat salah biarpun sebesar zarah,” katanya.

Lah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Damian Mikhail yang dilihat lantang bersuara  dan secara terbuka mengkritik kumpulan V.E yang menyertai GV9 di media sosial.

Sebelum ini, Damian juga pernah mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan penglibatan penyanyi legenda dalam program realiti itu, selain diminta melakukan persembahan lari daripada identiti asal artis yang bertanding.

Sebagai sahabat, Lah yang ditemui pada sidang media Konsert 25 Years Lah Ahmad di PJ Pac, Petaling Jaya, berkata dia mengambil tahu perkembangan terkini rakan-rakannya, malah sentiasa mendoakan perjuangan mereka.

“Memang saya ambil tahu kerana mereka sahabat saya, walau dalam bidang apa sekalipun. Susah untuk bercakap mewakili semua orang dan kerana itu, saya lebih selesa bergerak sendiri.

“Kalau ada apa-apa salah, saya tanggung sendiri. Saya suka melihat V.E masuk GV9 dan persembahan mereka sangat mengagumkan.

“Saya tabik hormat kerana mereka dapat membuat persembahan dengan dengan baik. Mereka memang layak bawa nama V.E,” katanya.

The post Sepatutnya sokong dan doa, bukan kritik V.E – Lah Ahmad appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *